"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tun Siti Hasmah sempat beritahu sudah ‘bersedia’ tinggalkan keluarga

MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN
Mukhriz pada Istiadat Pengebumian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA
PUTRAJAYA – Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali disifatkan seakan sudah bersedia untuk meninggalkan keluarga apabila memaklumkan kepada anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubung perkara itu.

Mukhriz berkata, semalam, beliau sempat bersama Tun Dr Siti Hasmah di Institut Jantung Negara (IJN) dan mendapati bondanya berada dalam keadaan ceria meskipun sedang menerima rawatan.

Katanya, pada pertemuan itu, Tun Dr Siti Hasmah turut memberitahu bahawa beliau sudah bersedia untuk meninggalkan mereka sekeluarga.

“Waktu itu dia sudah pun berada di IJN atas sakit yang lain sebenarnya tetapi perasaannya sangat ceria, walaupun begitu dia ada beritahu saya yang dia dah bersedia untuk meninggalkan kita semua. Jadi, nampaknya dia dah bertawakal,” katanya.

Mukhriz berkata, beliau menerima makluman daripada pihak hospital pagi tadi bahawa Tun Dr Siti Hasmah mengalami masalah jantung kira-kira pukul 8 pagi sebelum bergegas ke IJN.

Katanya, ketika tiba, pasukan pakar IJN sedang melakukan CPR terhadap bondanya sebelum beliau dipindahkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU).

“Pada pukul 9 pagi kami dimaklumkan bahawa CPR yang telah dijalankan itu hanya akan dibuat selama 15 minit lagi dan kalau jantung tak terus berfungsi maka tindakan CPR itu akan dihentikan.

“Kita waktu itu dah faham maksud doktor itu dan tepat pada pukul 9.30 pagi beliau telah meninggalkan kita semua,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz memohon orang ramai bersama-sama mendoakan agar segala dosa Allahyarahm diampunkan, segala amal ibadahnya diterima dan ditempatkan bersama golongan Muslimin di syurga Firdaus.

“Saya minta tolong sangat-sangat mungkin kita sama-sama doakan agar Almarhumah diampuni segala dosa, diterima segala kebaikan amal ibadahnya dan ditempatkan bersama para Muslimin di syurga Firdaus, Insya-Allah. Amin,” katanya.

Mukhriz turut memaklumkan bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berada di IJN ketika Tun Hasmah menghembuskan nafas terakhir. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: