Bernama
IPOH: Dua lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai membawa 690kg daun ketum bernilai RM27,600 menggunakan sebuah kenderaan mewah di Kilometer 371 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, awal pagi semalam.
Ketua Polis Muallim Khalid Mohamad berkata, kedua-dua suspek berusia 21 dan 31 tahun itu ditahan kira-kira 2 pagi oleh sepasukan anggota Peronda Lebuhraya (EMPV) Sektor 7 dan Sektor 8, Zon Utara 4, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Kedua-duanya dipercayai bertindak sebagai penghantar bekalan daun ketum untuk pasaran tempatan, tambahnya.
“Hasil pemeriksaan terhadap Toyota Alphard itu menemukan 69 bungkusan plastik hitam yang disyaki mengandungi daun ketum seberat kira-kira 690kg dengan anggaran nilai pasaran RM27,600,” katanya dalam kenyataan.
Polis turut merampas Toyota Alphard berkenaan bersama satu unit alat kawalan jauh kenderaan bagi membantu siasatan.
Khalid berkata, semakan awal mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod berkaitan dadah dan lima rekod jenayah, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod berkaitan dadah serta satu rekod jenayah.
Kedua-duanya kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan