"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terkini Wanita maut, kereta terjunam ke sungai di Kulai

Jassmine Shadiqe
Kenderaan dipandu wanita yang terbabas dan terjunam ke sungai di Kulai. – Foto Bomba
KULAI: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya merempuh paip air utama sebelum terbabas dan terjunam ke sungai di Kilometer 25, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, awal pagi tadi.

Ketika kejadian, mangsa berusia 21 tahun itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menuju ke Skudai.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 2.49 pagi.

“Kereta mangsa merempuh paip air utama di bahu jalan sebelum terbabas dan terjunam ke sungai.

“Mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata tujuh anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, mendapati kenderaan berkenaan tenggelam kira-kira tiga meter di dalam air serta hanyut sejauh kira-kira 500 meter dari lokasi terjunam.

“Pasukan penyelamat mengikat kenderaan pada sebatang pokok sebelum mangsa dikesan dan dikeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya.

Tiada ulasan: