"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mari fahami Tabung Haji berfungsi

Kenaikan kos haji, bayaran yang dibuat oleh jemaah

NIK MOHAMAD HASYUDEEN

Di dalam tahun 1962, Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBBH) ditubuhkan dari idea Ungku Aziz. Perbadanan ini tidak terlibat dengan kerja-kerja haji yang diuruskan oleh sheikh-sheikh haji dari Pulau Pinang dan Singapura di ketika itu. Ini bermakna bakal-bakal haji kena menyimpan wang yang sekukupnya untuk membayar kos haji mereka.

Di dalam tahun 1969 barulah urusan simpanan dan urusan haji digabungkan apabila Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) ditubuhkan dengan menyerap peranan PWSBBH. Mulai dari peringkat ini bakal-bakal haji membayar kepada LUTH bagi mengerjakan haji. Di dalam tahun 1995 LUTH dinamakan semula sebagai Lembaga Tabung Haji (TH).

Laporan tahunan TH tahun 2019 menunjukkan bayaran haji yang dibayar oleh jemaah berbanding dengan kos sebenar untuk mengerjakan haji. Tidak seperti ketika peringkat PWSBBH dan LUTH, mulai tahun 2000 TH mula menyerap sebahagian dari kos sebenar untuk mengerjakan haji walaupun tidaklah begitu ketara pada awalnya.

Bayaran haji RM 9,980 mula dikenakan pada tahun 2009 diketika kos haji berjumlah RM 12,803 . Mulai dari tahun itu sehingga tahun 2019 bayaran haji tidak berubah walaupun kosnya sudah naik berganda-ganda.

Pada tahun 2019 kos haji sudah berjumlah RM 22,900 sedangkan Bayaran Haji RM 9,980 hanyalah 44% dari kos haji.

Bayaran ini tidak pun dapat membayar kos tiket penerbangan dan penempatan yang sudah naik kepada RM 17,400 dengan sepenuhnya. Ni belum masuk kos-kos seperti kos Masyair dan makanan yang ditanggung oleh TH.

Dari mana datangnya dana untuk menampung perbezaan di antara kos sebenar yang dibayar oleh TH dan bayaran yang dibayar oleh jemaah haji Muasasah?

TH sebagai sebuah institusi mengumpul deposit dari bakal-bakal haji dan rakyat Malaysia yang Muslim yang lain. TH tidak ada modalnya sendiri.

Oleh itu setiap sen yang dipegang dan dibelanjakan oleh TH adalah dari dana milik pendeposit. Inilah sebabnya TH perlu berhati-hati di dalam membuat pelaburan dan operasinya. Tidak ada duit kerajaan di TH.

Dana yang dikumpulkan ini dilaburkan di dalam beberapa jenis aset:

1. Saham

2. Pelaburan berpendapatan tetap seperti sukuk

3. Hartanah

4. Tunai di dalam pasaran wang sebelum dilaburkan di dalam aset-aset di atas atau pun sebagai aset untuk menguruskan kecairan yang perlu apabila pendeposit mahu mengeluarkan deposit mereka pada bila-bila masa.

Pelaburan di atas memberikan keuntungan kepada TH di dalam bentuk dividen, bayaran keuntungan dan juga keuntungan modal (capital gains) apabila aset-aset yang perlu dijual.

Aset dijual apabila objektif pelaburannya dicapai atau pun apabila rugi (tak semua pelaburan untung) dan lebih baik dijual untuk dilaburkan ke dalam aset yang lebih berpotensi.

Ini termasuk hartanah yang mana lokasinya sudah tidak strategik dan memerlukan belanja yang tinggi untuk menguruskannya seperti mengganti lif dan sistem pendingin hawa.

Keuntungan yang didapati digunakan untuk:

1. Membayar zakat

2. Menampung kos haji seperti yang dibincangkan di atas

3. Membayar kos pengurusan TH

Baki keuntungan yang ada akan diagihkan kepada pendeposit setelah mengambilkira keperluan untuk menjaga kestabilan TH.

Jadi, yang menanggung perbezaan di antara kos sebenar untuk mengerjakan haji dan bayaran yang dikutip dari jemaah haji Muasasah ialah pendeposit TH secara keseluruhannya. Ianya bukan subsidi yang dibayar oleh kerajaan.

Oleh kerana pendeposit juga inginkan pulangan yang munasabah dari dana yang mereka berikan untuk ditadbir oleh TH, semakin banyak TH menyerap kos haji, bahagian yang boleh diagihkan akan menjadi lebih kecil. Itu lebih memberi kesan apabila suasana ekonomi lemah seperti sekarang yang mana pulangan yang boleh didapati lebih rendah.

Penulis adalah bekas CEO Tabung Haji. Ini adalah tulisan yang disiarkan di Facebook beliau selepas laporan Ketua Audit Negara untuk tahun 2019 dikeluarkan.

Fakta menakutkan

Muhaamad Hafis Nawawi

mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pendedahan menakutkan dan pastinya menggerunkan golongan ibu bapa yang memiliki anak perempuan.

Ia hasil kajian sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana sembilan daripada 10 remaja perempuan bermasalah yang ditemu bual mengaku ketagih seks walaupun menyedari perkara itu melanggar moral dan berdosa di sisi agama.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, Pegawai Psikologi D11 sedang menyiapkan kajian berkaitan isu itu membabitkan ribuan golongan remaja wanita yang terbabit dalam kes rogol atau disiasat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Menurutnya, pihaknya mendapati golongan remaja yang pertama kali terjerumus melakukan hubungan seks bebas sudah mula ketagih untuk mengulanginya lagi.

"Lebih membimbangkan apabila mereka ini membabitkan remaja berusia belasan tahun. Ramai antaranya berusia 16 tahun ke bawah.

"Kajian mendapati kebanyakan mereka ini mempunyai tahap keinginan seks yang tinggi.

"Pada awal tahun ini sahaja, pasukan D11 sudah menerima dua kes membabitkan remaja perempuan yang menawar khidmat seks. Mereka ini melakukan hubungan seks bagi tujuan kepuasan dan keseronokan sendiri.

"Ada satu kes itu, remaja terbabit sudah menawarkan khidmat itu kepada enam pelanggannya, malah ketika ditemu bual mereka memberitahu sudah mula ketagih untuk melakukannya.

"Lebih memburukkan keadaan apabila ahli keluarga tidak mengetahui kegiatan luar dilakukan anak mereka ini. Mereka mempercayai bulat-bulat anak mereka," katanya eksklusif kepada Harian Metro.

Siti Kamsiah berkata, ketika ditemu bual, remaja perempuan terbabit mengakui dan menyedari perbuatan itu salah di sisi agama serta merosakkan masa depan.

"Bagaimanapun perbuatan ini sukar dibendung berikutan ibu bapa tidak memantau pergerakan anak perempuan masing-masing menyebabkan mereka berani melakukannya.

"Mereka tidak diajar panduan menjalani kehidupan sebagai anak dan remaja hingga akhirnya terjebak dengan kegiatan itu.

"Mereka ini tiada ejen sebaliknya menggunakan media sosial untuk mencari pelanggan. Mereka sanggup menawarkan diri serendah RM50 untuk melakukan hubungan terlarang itu.

"Namun hasil temu bual dilakukan, wang bukanlah perkara utama namun kepuasan dapat melakukan hubungan seks lebih menjadi keutamaan," katanya.

Beliau berkata, kegiatan ini harus dibendung supaya tidak menular dalam komuniti masyarakat.

"Lebih menggusarkan jika ada individu mengambil kesempatan ke atas mereka. Golongan remaja ini tidak dididik secara sempurna manakala ibu bapa pula tidak mempunyai ilmu dan memberikan kefahaman agama mencukupi.

"Biasanya ibu bapa remaja 'terbabas' ini tidak dapat menjangkakan risiko dan ancaman di sekeliling anak-anak selain terlalu memberi kepercayaan. Ini akhirnya menyebabkan berlakunya kes rogol di mana ada dalam kalangan remaja melakukan perbuatan itu dengan kenalan media sosial baru dikenali. Di sini bermulanya masalah apabila mereka akhirnya menjadi ketagih terhadap perbuatan maksiat itu," katanya.

Lebai PAS yang ini perasan dia suci

Jangan duduk dalam group yang caci maki ulama, kata Dusuki ketika TH rai kejayaan

BORHAN AHMAD

Ketika Tabung Haji meraikan kejayaan mereka selepas Ketua Audit Negara mengeluarkan laporan untuk 2019, ulama Pas, Dusuki Rani memberikan ingatan kepada pengikutnya agar jangan duduk dalam group yang mencaci maki ulama.

“Sejak kebelakangan ini banyak sangat orang yang takda kerja lain…. serang orang Islam sahaja khasnya ulama termasuk saya.

“Ada yang mati ketika caci maki orang-orang alim. Termasuk caci maki ana.

“Ada seorang itu, mati ketika umur 38 tahun. Masuk bilik air pung jatuh bilik air, tak sempat minta maaf.

“Sedangkan, di wall Fb dia penuh dengan caci maki ulamak termasuk caci maki saya.

“Jadi jika kita dalam group sebegini ke, kita kena left group dan block orang sedemikian,” kata beliau dalam kuliah tayangan perdana secara online yang dinamakan tayangan perdana video.

Video itu disiarkan dalam facebook bekas calon Pas di Selangor itu pagi ini dengan tajuk “Kesan dan Akibat Berdendam”.

Turut disiarkan bersama video itu adalah tiga nombor akaun bank beliau bagi memudahkan penyokongnya memberikan sumbangan.

Kenyataan Dusuki ini disiarkan ketika Tabung Haji meraikan kejayaan mereka selepas Laporan Audit Tabung Haji 2019 dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara.

Laporan itu mengesahkan kejayaan Tabung Haji dipulihkan selepas jatuh teruk sebelum itu.

Pada tahun berkenaan, Dusuki antara pihak yang menyerang kepimpinan Tabung Haji ketika itu khasnya menteri yang menjaga hal ehwalnya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Antaranya mendakwa Tabung Haji menjual asetnya kepada orang bukan Islam.

Sehingga kini, video klip dakwaan beliau itu masih berada di Youtube.

“Dalam hidup kita jangan sesekali orang menyebut kejahatan kita walaupun kita dah mati.

“Biarlah orang menyebut kebaikan kita, setiap kali orang sebut, kita akan dapat pahala,” kata beliau dalam kuliahnya yang disiarkan pada 20 Februari 2020 bertajuk “Jual Aset orang Islam: Tabung Haji”.

Dalam kuliah itu beliau mendakwa, aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam.

“Harta Tabung Haji ni milik orang Islam. Rugi sangat ke Tabung Haji ni sampai hendak dijual hotel-hotel yang dibina semata-mata mahu mengaut keuntungan.

“Dosa kamu jual ni, kamu tanggung sampai akhirat. Jangan main-main.

“Lihat bagaimana jahat apa yang dilakukan ini. Hal ni kamu kena tanggung sampai di akhirat,” tuduh beliau dalam video itu.

Selepas Ketua Audit Negara mengeluarkan laporan mereka, Dusuki antara yang menjadi sasaran para netizen kerana menghina dan membuat pelbagai dakwaan terhadap Tabung Haji ketika itu.