"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Saya diseksa supaya mengaku sebagai pengganas’

WARTAWAN SINAR HARIAN
Mazen Al-Hummada
KUALA LUMPUR - Seorang rakyat Syria, Mazen Al-Hummada mengulang kembali detik hitam di dalam hidup beliau saat dipenjara dan diseksa selama 15 bulan oleh rejim kerajaan Syria pimpinan Bashar al-Assad.

Beliau ditangkap kerana menentang rejim al-Assad mendakwa perkara tersebut terpaksa dilalui oleh semua rakyat Syria yang enggan mengaku sebagai pengganas.

“Mula-mula mereka baringkan saya di atas lantai dan kemudian terbalikkan saya dan mula memukul, kemudian ada empat orang berbadan besar berdiri dan memijak badan.

“Apabila saya tidak mahu mengaku, mereka mula menggantung saya setinggi 40 sentimeter melalui kedua-dua belah pergelangan tangan membuatkan tangan saya terlalu sakit.

“Ditambah lagi dengan beban berat badan semuanya terletak di tangan membuatkan rasa seperti nak tercabut. Jika saya jerit, kasut akan disumbat ke dalam mulut untuk menyuruh saya diam,” katanya kepada Awani.

Tambahnya, tidak hanya terhad kepada serangan fizikal, penggunaan alat seksaan seperi besi panas dan rokok turut digunakan.

“Apabila saya berkeras tidak mahu mengaku, mereka menggunakan besi panas dan rokok dan dicucuh ke seluruh kaki saya hingga berparut.

“Selain itu, mereka turut menggunakan pengepit besi dan meletakkannya di kemaluan saya dan mengetatkannya. Selepas itu, besi pula di dimasukkan ke dalam pinggul saya,” katanya lagi yang tidak dapat menahan sebak.

Lebih menyedihkan apabila kanak-kanak turut diperlakukan serupa oleh rejim tersebut demi mendapatkan akuan untuk dihantar kepada PBB.

Setelah terlepas dari azab seksaan tersebut, Mazen datang ke Malaysia dengan tekad untuk mendedahkan kekejaman al-Assad kepada seluruh dunia.

Peluk Islam selepas dengar ceramah Zakir Naik di TV

Penceramah terkenal Zakir Naik kini menjadi kontroversi di Malaysia.

Bagaimanapun, di sebalik semua itu, ceramahnya memang benar-benar mengetuk pintu hati pendengarnya untuk lebih mengenali Islam.

Muhammad Firdaus, 27, dari Sarlahi, selatan Nepal antara yang tertarik dengan hujah pendakwah kelahiran India itu.

Lelaki yang tidak mahu nama penuh atau atau asalnya itu didedahkan berkata beliau kemudian terus mempelajari agama Islam, termasuk selepas berhijrah ke Kuala Lumpur untuk berkhidmat di sebuah syarikat swasta.

“Tujuh tahun lalu saya tak aktif dalam mana-mana agama kerana saya mengalami kekecewaan dengan agama,” dedah beliau.

“Jadi pertama kali saya dengar mengenai Islam iaitu di program ceramah Zakir Naik di TV dan pada ketika itu timbul persoalan di fikiran saya apa sebenarnya yang salah dan apa yang betul (mengenai ketuhanan).”

Menceritakan gelodak perasaannya, Muhammad Firdaus mengaku beliau pernah bingung dan hatinya tertanya-tanya apabila memikirkan tuhan mana yang sebenarnya harus disembah.

Lelaki daripada kasta Brahmin itu membesar dalam tradisi persekitaran yang majoriti penduduknya beragama Hindu.

Di Kuala Lumpur bagaimanapun nyata berbeza apabila jumlah umat Islam yang ramai.

Justeru, secara tidak langsung Muhammad Firdaus mempelajari Islam sedikit demi sedikit.

“Saya mendalami dahulu sedalam dalamnya sebelum ambil keputusan untuk memeluk Islam,” katanya yang memeluk Islam di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, baru tiga bulan lalu.

Beliau ketika ditemui sedang mengikuti rutin kelas agamanya di Masjid Negara, di ibu kota.

Badan lapar tapi spiritual OK

Beliau salah mualaf sedang mengikuti kelas agama kelolaan Islamic Outreach ABIM Center (IOAC) dan Masjid Negara.

Jurulatih pemasaran itu juga menyifatkan tahun ini adalah Ramadan paling bermakna buatnya kerana pertama kali berpuasa.

“Semalam (27 Mei) adalah hari pertama saya berpuasa, awal pagi saya sahur dan ketika tengah hari perut rasa tak selesa tapi saya fikir tak apalah, mungkin Allah nak uji dan saya sibukkan diri saya.

“Saya pergi jumpa ibu saudara saya, saya dengar bacaan al-Quran supaya fikiran saya tak fikirkan makanan jadi dari Asar sampai Isyak saya duduk di Masjid Negara.

“Keseluruhannya OK tapi dari segi fizikal saya rasa lapar sikit tapi dari segi emosi dan spiritual saya rasa OK,” katanya.

Muhammad berkata beliau kini tenang dengan Islam dan akan mendalaminya dengan sepenuh hati.

Bagaimanapun katanya, beliau masih belum memberitahu ibunya mengenai agama barunya dan merancang akan memaklumkan pada masa yang sesuai.

“Hanya ibu saudara di Kuala Lumpur yang tahu saya dah tukar agama dan saya nak bagi tahu ibu tapi dia jauh dari saya sekarang.

“Nak cerita pada ibu akan ambil masa yang lama berhari-hari untuk saya terangkan pada dia kenapa saya tukar agama.

“Saya nak jumpa dia untuk yakinkan dia dengan pilihan saya, saya tak nak dia kecewa dan sedih kalau saya cuma cakap melalui telefon,” katanya yang pandai berbahasa Melayu sedikit.
-malaysiakini

Lelaki mengaku 'imam' halau rombongan PH di bazar Ramadan

MALAYSIA DATELINE
Lelaki mengaku imam
Sekumpulan lelaki (berkopiah biru) bertindak kasar dengan menghalau rombongan ziarah Pakatan Harapan (PH) di bazar Ramadan Kluang sehingga mencetuskan kekecohan lewat petang semalam.

Dalam insiden sekitar jam 6.45 petang semalam, sekumpulan lelaki tiba-tiba menghalau dan memaki hamun rombongan PH yang mengedarkam kurma kepada pengunjung dan peniaga bazar.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong turut dikasari kumpulan tersebut sehingga kaca matanya terjatuh, lapor Roketkini.

Pembantu Khas Ahli Parlimen Kluang, Sheikh Omar Ali berkata, sebelum insiden tercetus, edaran kurma berjalan dengan baik, muhibah dan penuh semangat silaturahim.

“Namun kami amat kesal dengan apa yang berlaku setibanya kami di bahagian gerai menjual pakaian.

“Kami telah dimaki hamun, dikasari dan dihalau oleh sekumpulan pemuda.

“Salah seorang dari kalangan mereka dapat saya kenalpasti sebagai individu yang sama pernah menghalang kami memasuki bazar ramadan Bandar Kluang pada 2014 lalu yang lebih dikenali sebagai insiden ‘mana surat?’,” jelasnya.

Video insiden berkenaan kemudian tular di media sosial.

Seorang lelaki yang bertindak sebagai ketua menghalang rombongan itu beberapa kali menyebut "saya imam, saya imam".

Kejadian seperti itu kata Sheikh Omar amat tidak wajar dan melampau.

“Bulan Ramadan yang mulia ini tidak wajar dicemari dengan kebencian, kekerasan dan kata-kata kesat serta kekasaran,” ujarnya.

Menurutnya, rombongan PH tidak menghadapi sebarang masalah ketika berada di bahagian makanan.

Beliau difahamkan, kawasan bazar yang dibahagian kepada dua bahagian itu diuruskan oleh dua urusetia yang berlainan.

“Kami ucapkan terima kasih kepada urusetia Bazar Ramadhan yang menguruskan bahagian gerai menjual juadah makanan dan kuih-muih,” katanya.

Rentetan dari peristiwa itu, dua laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Daerah Polis Kluang pada jam 10.40 dan 11.45 malam tadi.