"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno K'tan tiada kuasa ambil tindakan ke atas Ku Li

Badan Perhubungan Umno Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang pendiriannya bertentangan dengan kerajaan pusat berhubung bayaran royalti minyak kepada Kelantan.

Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata hanya Majlis Tertinggi Umno yang boleh membuat keputusan dalam soal itu.

"Ianya bukan bidang kuasa Umno Kelantan, hanya Majlis Tertinggi parti boleh tentukan dan putuskan tindakan ke atas Tengku Razaleigh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik 1Malaysia di Batu Melintang, di Jeli hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Umno Kelantan boleh mengambil tindakan ke atas Tengku Razaleigh berikutan kenyataannya pada Khamis lepas yang mendakwa kerajaan negeri Kelantan kini patut mendapat bayaran royalti minyak dan bukannya wang ihsan.

Berikutan itu, Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pucuk pimpinan parti akan meneliti ucapan Tengku Razaleigh itu.

Mustapa bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pendirian Tengku Razaleigh itu.

Sementara itu, dalam majlis perjumpaan khas dengan Umno Bahagian Pasir Puteh di PASIR PUTEH malam tadi, Mustapa berkata Badan Perhubungan Umno Kelantan akan menemui perdana menteri untuk berbincang dan mencadangkan projek-projek yang akan dilaksanakan di bawah pemberian wang ihsan kepada rakyat Kelantan.

Beliau berkata pihaknya sedang mendapatkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri.

"Apabila tarikh diperolehi satu rombongan akan menemui perdana menteri yang turut disertai anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) dan anggota Parlimen daripada Barisan Nasional (BN)," katanya.

Mustapa baru-baru ini mengumumkan kerajaan pusat akan menyalurkan RM20 juta wang ihsan kepada Kelantan bagi menggantikan royalti minyak dan jumlah itu merupakan lima peratus daripada hasil perolehan gas dan petroleum di perairan Kelantan pada 2008.

-Bernama-

Tiada ulasan: