"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khairy Akan Meninggalkan UMNO?

Abdul Aziz Ismail

DALAM mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Umno yang diadakan baru-baru ini, seorang exco telah membuat kritikan keras dan menyarankan supaya Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin meletak jawatan dan digantikan dengan tokoh lain.

Alasan yang diberikan, dibawah Khairy pergerakan itu nampak lesu dan kurang rangsangan aktiviti yang sepatutnya ada pada sayap pemuda yang menjadi nadi penggerak utama parti.

Khairy nampak sibuk dengan kegiatan lain dan lupa agenda parti yang lebih utama dan pertama khususnya mencari ahli dan menambah ahli muda baru bagi membantu agenda PM Najib yang dahagakan sokongan kaum muda dalam PRU akan datang.

Walaupun Naib Ketua, Datuk Razali Ibrahim cuba menafikan ada percubaan untuk mengenepikan Khairy, tetapi jawabannya supaya mereka yang tidak perform memberi laluan kepada pemimpin yang lebih layak, membenarkan dakwaan memang ada kegelisahan di kalangan ahli Pemuda yang mendesak supaya Kahiry membaiki prestasinya atau bakal disingkir.

Khairy didakwa kurang membuat aktiviti bermakna bagi menunjukkan kuasa Pemuda sebagai tulang belakang parti untuk membantu pucuk pimpinan Umno dan BN melaksanakan berbagai program merakyatkan rakyat dan 1Malaysia yang dipelopori PM Najib.

Beliau lebih sibuk melayan sanggahan suara dan kritikan pemimpin Pakatan yang tidak dapat dinafikan peranannya tetapi kurang signifikan dalam konteks agenda besar Pemuda. Ahli Pemuda mahukan lebih dari itu. Ahli Pemuda inginkan ketua Pemuda yang agresif dan dinamik dengan idea bernas untuk membantu pucuk pimpinan dengan aktiviti konstruktif bukan saja dalam bidang politik tetapi juga ekonomi, pelajaran, sosial, agama dan lain-lain.

Suara Pemuda dikatakan lesu dan tidak bermaya dalam isu penggunaan nama Allah. Tidak ada langsung komentar tajam Khairy atau suara di kalangan ahlinya dalam isu hangat itu yang seolah-olah mencerminkan Ketua Pemuda itu tidak berminat atau tidak bersedia membantu pucuk pimpinan dalam menghadapi isu kritikal yang menyentuh kepentingan agama dan hukum Islam.

Pemuda sepatutnya bangkit membela dan membantu Kementerian Dalam Negeri dan JAKIM dalam menangani serangan pelbagai pihak termasuk bukan Islam dalam isu yang sudah dipolitikkan sedemikan rupa sehingga dipertikai keupayaan pemimpin kerajaan mengendalikan kes itu secara bijaksana.

Pemuda tidak turun ke bawah bermesra dan mendekati rakyat sebagaimana yang dibuat PM dan TPM. Pemuda seharusnya melaksanakan program mendekati kaum muda di semua peringkat umur dan pada waktu sama cuba menambah keahlian bilangan kaum muda yang telah disebutkan kebanyakan penganalisis politik sebagai antara faktur penentu dalam kemenangan atau kekalahan mana-mana parti bertanding dalam PRU ke-13 nanti.

Mengapa Khairy begitu lambat bertindak dan tidak segera memahami kehendak sebenar majoriti ahlinya? Adakah Pemuda kurang dana untuk menjalankan aktiviti atau beliau sendiri hilang minat menjalankan tugas kerana tidak mendapat jawatan kabinet seperti yang dihajatkan?
Tidak dapat dinafikan Khairy pasti kecewa kerana tidak diberikan jawatan kabinet walaupun telah memenangi jawatan Ketua Pemuda. Naib Ketuanya, Razali Ibrahim mendapat jawatan timablan menteri sedangkan beliau yang menang sebagai ketua dipinggirkan Najib dengan seribu tandatanya.

Najib mungkin ada pertimbangan sendiri mengapa Khairy tidak disenaraikan jika dipandang dari sentimen umum rakyat dan ahli Umno yang masih sangsi tentang kesetiaan dan kewarasan beliau dalam parti. Cerita negatif beliau sewaktu menjadi Naib Ketua sudah memberi gambaran buruk yang tidak disenangi ramai dan memerlukan masa yang lama untuk memulihkan titik-titik hitam sejarah untuk diterima semula di kalagan ahli MT Umno.

Barangkali atas alasaan inilah peningkatan Khairy dalam hairarki kepimpinan utama Umno perlu ditangguhkan sehingga Najib berpuashati bahawa beliau benar-benar sudah berubah dan menunjukkan prestasi yang diharapkan.

Khairy juga tidak disenangi di kalangan pengikut Khir Toyo dan Mukhriz yang masih kecewa ketewasan ketua mereka dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda tahun lalu yang dikatakan penuh konterversi dan tidak bersih. Kalangan pengikut ini mungkin masih berdendam dan tidak mahu Khairy mengetuai lagi Pemuda apalagi setelah beliau tidak diberikan jawatan kabinet.

Berbagai teori didedahkan tentang kemorosotan dan kelesuan peranan Khairy yang sudah didedahkan oleh berbagai pihak dan penulis blog. Ada yang mencadangkan supaya beliau menyertai Pakatan untuk menambah kekuatan parti itu dengan memberi jawatan penting kepada beliau sesuai dengan kebolehanya. Beliau dikatakan mempunyai idea dan fikiran terbuka lagi bernas sebagai lepasan universiti terkemuka dunia dengan kepetahan berbahasa Inggeris yang mengkagumkan.

Khairy juga didakwa mempunyai rangkaian perhubungan dengan beberapa tokoh dari negara berpengaruh tertentu yang boleh menjadi asset penting dan menambahkuat jaringan Pakatan. Khairy dikatakan mempunyai ikatan perniagaan besar bersama kawan-kawan korperat ternama yang boleh menguatkan kelansungan hayat Pakatan dalam menghadapi PRU akan datang.

Soalnya adakah beliau berminat dan bersedia menyertai Pakatan? Adakah masa depan beliau lebih cerah bersama Pakatan berbanding kekal terus dalam Umno tanpa jawatan penting kerajaan seperti yang diharapkan?

Cakap-cakap politik beliau bakal menyertai Pakatan sukar menjadi kenyataan kerana beliau besar dan terdidik dalam Umno yang boleh memberi masa depan cemerlang jika beliau terus bersabar dan mahu berubah. Beliau sebenarnya sudah mendapat dan merasa banyak nikmat sebagai ahli Umno dan tidak mungkin boleh melupakan semua itu?

Keinginan beliau melompat kepada Pakatan mungkin boleh terjadi dalam waktu terdekat jika Umno/BN ditimpa malapetaka; menjadi lemah atas alasan tertentu dan kepimpinan Najib tidak diterima rakyat.

Namun, ditinjau dari senario situasi semasa dan dari sudut logik, sukar bagi Khairy meninggalkan Umno dan melompat ke parti lain. Beliau mungkin sudah memahami suasana sebagai orang bijak dan boleh membaca situasi yang sudah berlaku dalam Pakatan khususnya PKR yang menyebabkan beliau berfikir sepuluh kali sebelum menyeberang parti. Beliau mungkin memerlukan sedikit kesabaran dan menunggu gilirannya apabila tiba saatnya Najib dan ahli MT Umno berpuashati tentang kejujuran dan kesetiaanya.

Khairy mungkin menyedari masa depannya masih ada - jika tidak hari ini mungkin tidak lama lagi - setelah PM Najib melihat perubahan sikap dan prestasi mendadak Khairy sebagai bakal pemimpin yang perlu diberi perhatian.

Najib juga tidak boleh dengan mudah mengenepikan Khairy dan melupakan jasa besar bapa mertua beliau, Tun Abdullah Badawi - yang boleh menjadi faktur pendorong bagi Najib - untuk mengekalkan menantu Pak Lah itu dalam Umno. Masa akan menentukan bilakah Khairy akan dibawa kepada arus perdana kepimpinan setelah Najib yakin beliau sudah dipulihkan, bertukar kulit dan boleh menyumbang besar kepada parti.

Tiada ulasan: