"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS rai masyarakat Tionghua

Ali Hashim
TASEK GELUGOR, 8 Feb:
Sempena Tahun Baru Cina yang akan datang, PAS kawasan Tasek Gelugor dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang telah meraikan masyarakat Tionghua yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungei Dua.

Kesemua mereka diraikan dalam satu majlis semalam yang telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Mohd Salleh Man di Dewan JKKK Sungei Dua.

Seramai 25 penduduk berketurunan Tionghua telah menerima sumbangan berupa wang dan juga limau sinonim kepada masyarakat Tionghua dalam menyambut Tahun Baru mereka.

Menurut Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Pulau Pinang, Zamri Darus berkata, program ini adalah salah satu antara program mempelbagaikan aktiviti bersama masyarakat bukan Islam.

"Kita mengambil pendekatan dengan cara yang terbaik bagi meraikan mereka dalam masa terdekat menyambut hari kebesaran mereka.Namun begitu aktiviti seumpamanya akan dilipatgandakan lagi khususnya bagi memberi penerangan dan makluman kepada masyarakat bukan Islam mengenai perlunya kerjasama dan hubungan yang baik antara masyarakat majmuk yang ada dalam kawasan ini."

Manakala Quah Ah Hee yang mewakili masyarakat Tionghua dalam majlis tersebut berkata, bagi beliau PAS adalah salah sebuah parti yang boleh dijadikan rakan bersama dalam Pakatan Rakyat.

"Apa yang saya lihat dalam Kelab Penyokong PAS ramai dikalangan masyarakat Tionghua adalah menjadi ahlinya.Ini sudah membuktikan bahawa PAS memang diterima oleh kebanyakan masyarakat kita jika dibandingkan beberapa tahun sebelum ini.Oleh kerana itu saya yakin majlis seumpama ini dapat meringankan beban sesetengah daripada masyarakat yang tidak berkemampuan dalam kawasan ini."

Sementara itu Shanmugham Perumal yang merupakan Timbalan Pengerusi, Dewan Perhimpunan Penyokong PAS Parlimen Tasek Gelugor berkata beliau akan tetap bersama dengan dewan ini setelah sekian lama bersama Kelab Penyokong PAS sebelum ini.

"Bagi saya apa yang dilaksanakan oleh kepimpinan dan parti PAS dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor adalah satu keadilan yang mereka lakukan tanpa mengira keturunan dan agama.Ini menjadikan saya berusaha sebaik mungkin untuk merapatkan lagi ahli-ahli yang ada dalam Kelab Penyokong PAS sebelum ini bertambah kepada 100 orang kini sebagai ahli dalam Dewan Perhimpunan yang baru ini."

Salleh Man yang juga Adun Permatang Pasir semasa menyampaikan ucapan beliau berharap sokongan dan dokongan yang diberikan oleh masyarakat bukan Islam kepada PAS akan diteruskan dalam apa jua keadaan.

"PAS akan terus memainkan peranan yang penting dengan mengambil kira kedudukan semua golongan masyarakat agar tidak terpinggir dalam apa jua pelaksanaan. Oleh kerana itulah kita mahu masyarakat bukan Islam memainkan peranan mereka dengan turut serta dalam setiap program yang dianjurkan PAS bagi memberi pendekatan kepada mereka secara berhemah.Alhamdulillah kini sokongan yang mereka berikan telah menjadikan mereka setia dan tetap bersama PAS sehingga kini," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua PAS kawasan Tasek Gelugor, Khalid Man, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Pulau Pinang, Suraya Saat dan kepimpinan PAS kawasan Tasek Gelugor.

Tiada ulasan: