"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ugut bunuh: Anwar anggap laporan Saiful aneh

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 10 Feb:
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan rasa aneh dengan niat saksi utama kes liwat, Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis kononnya diancam bunuh oleh seseorang rakan maya di Facebooknya.

"Yang meragukan adalah Facebook dan blog saya itu diikuti rakyat 60,000 hingga 70,000. Jadi kalau begitu, ada seorang buat catatan (dalam Facebook) dan dalam masa singkat hilang namanya, tetapi dalam masa yang singkat itu dia beri e-mail kepada Saiful bagi saya begitu aneh," jelasnya di lobi Mahkamah Kompleks Kuala Lumpur tengah hari ini.

Pun begitu, beliau yang juga Ketua Pembangkang meminta pihak polis menyiasat kes tersebut, termasuk e-mail misteri yang diterima Saiful.

"Mengenai laporan (Saiful), tak apalah, biarkan polis siasat, kena siasat siapa yang hantar e-mail kepada Saiful," jelasnya.

Sebelum itu, Anwar turut menjelaskan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan kes liwat sehingga 18 Februari ini.

Tambahnya lagi, penangguhan tersebut bertujuan membuat ketetapan sama ada menerima permohonannya untuk mengetepikan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md Diah daripada mendengar perbicaraan atau sebaliknya.

Kata Anwar lagi, peguambelanya Karpal Singh telah pun menghantar afidavit balas pada jam 9.30 pagi tadi, walaupun pasukannya bercadang menghantar afidavit itu petang semalam.

Tiada ulasan: