"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Untuk Siapa Zambry Solat Hajat?

Zolkharnain Abidin

Terpandang foto Zambry bersolat hajat memohon supaya keputusan mahkamah memihak kepadanya, ingatan saya pantas berputar ke belakang mengi

ngati suatu peristiwa sekitar awal 1990 an.

Saya (ketika itu bertugas di sebuah agensi agama kerajaan negeri) bersama sekumpulan anggota polis telah diarah melumpuhkan gerakan kumpulan al-Arqam di sebuah perkampungan kumpulan berkenaan di sebuah negeri di utara semenanjung.

Serbuan dibuat, barangan berkaitan diambil dan beberapa orang ditahan. Operasi bermula (kalau tidak salah ingatan saya) sekitar jam 2 petang dan berakhir menjelang awal malam.

Saya tidak mahu menyebut di sini apa yang ditemui dan dirampas dalam serbuan itu. Banyak yang menarik dan mengejutkan.

Namun sesuatu yang sangat berkesan di hati saya ialah apabila kumpulan al-Arqam telah mengadakan solat hajat di surau perkampungan kumpulan itu.

Solat hajat itu diimami oleh salah seorang pemimpin kumpulan itu di situ. Dia masih hidup sehingga kini, saya kenal rapat dengannya dan sekarang menjadi aktivis PAS.

Apa yang dipohon dalam solat hajat mereka saya tidak pasti tetapi saya yakin ia berkaitan dengan serbuan yang dibuat itu. Mungkin memohon gerakan itu diselamatkan.

Kumpulan al-Arqam dilumpuhkan selepas difatwakan bersalah (istilah yang digunakan oleh kerajaan adalah sesat) oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Gerakan melumpuhkan kumpulan itu dilakukan secara besar-besaran.

Akhirnya kumpulan itu lumpuh sehingga kini namun terus diawasi oleh kerajaan dibimbangi ia pulih semula dari kelumpuhannya.

Fokus saya ialah solat hajat. Al-Arqam difatwakan ‘bersalah’ secara ‘ijmak’ oleh para ulama negara ini. Pemimpin dan kumpulan itu pun tahu mereka difatwakan begitu.

Mereka tidak tahu untuk buat apa-apa lagi. Mereka berhadapan dengan kuasa kerajaan. Apa yang boleh dilakukan hanyalah solat hajat.

Terus-terang saya katakan, saya secara peribadi terasa takut dengan solat hajat yang mereka lakukan. Saya melihat mereka bersolat dengan mata kepala saya. Bimbang benar kalau-kalau mereka berdoa sesuatu yang tidak baik terhadap kami yang menyerbu perkampungan mereka.

Namun, apabila mengenangkan fatwa yang dibuat oleh para ulama, kebimbangan itu hilang sedikit demi sedikit setelah meyakini bahawa tindakan pihak berkuasa itu adalah benar.

Zambry juga solat hajat. Zambry ‘difatwakan’ oleh mahkamah sebagai MB Perak namun fatwa itu belum muktamad kerana ada ‘semakan’ semula terhadap fatwa itu.

Apa tujuan solat hajat Zambry? Ya, memenangkan Umno dan dirinya sendiri.

Mengapa pengikut kumpulan al-Arqam perlu bersolat hajat sedangkan mereka difatwakan salah oleh mufti? Ternyata, solat hajat mereka tidak boleh mengundurkan fatwa para mufti.

Di sebalik ‘fatwa’ mahkamah, Zambry difatwakan bersalah pula oleh majoriti rakyat Perak. Di kalangan jutaan rakyat Perak itu, bukan terdapat 15 orang ulama seperti bilangan mufti yang memfatwakan al-Arqam, tetapi terdapat ribuan ulama yang memfatwakan bahawa Zambry adalah MB haram.

Al-Arqam difatwakan kumpulan haram oleh 15 mufti tetapi Zambry ‘difatwakan’ MB haram oleh ribuan ulama dan jutaan rakyat Perak. Walau ribuan ulama itu tidak bergelar mufti tetapi ilmu mereka setanding mufti dan ada yang lebih baik daripada mufti.

Mana lebih kuat, fatwa 15 mufti dengan fatwa ribuan ulama? Dalam konteks pentadbiran fatwa mufti lebih kuat. Dalam konteks politik pula fatwa ribuan ulama tadi tentu lebih kuat.

Kalau al-Arqam terus lumpuh walau pun ada solat hajat daripada pengikutnya, bolehkah Umno dan Zambry berasa dia tidak akan lumpuh walau pun dia juga solat hajat?

Pengikut al-Arqam tidak berasa ralat apa-apa untuk bersolat hajat walau pun difatwakan salah oleh 15 mufti. Tentulah Zambry juga tidak akan terasa ralat apa-apa untuk melakukan perkara yang sama walau pun difatwakan salah oleh majoriti rakyat Perak.

Saya kata, solat hajat tidak menentukan seseorang itu salah atau benar. Kumpulan al-Arqam tetap kumpulan haram walau pun bersolat hajat dan Zambry tetap MB haram walau pun dia juga bersolat hajat.

Suatu kaedah yang saya hafal, “Niat yang benar tidak menjadikan amal yang buruk itu baik. Sekali pun niat yang buruk menjadikan amal yang baik itu buruk.”

Justeru, untuk siapa Zambry solat hajat? Untuk dirinya atau untuk rakyat?

http://bongkarsauh.blogspot.com/

Tiada ulasan: