"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli qaryah Surau al-Hidayah kritik Jais

Dzulfikar Mashoor
HULU KLANG, 8 Mac:
Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melarang pentadbiran Surau al-Hidayah daripada mengadakan solat fardhu Jumaat sejak Disember tahun lalu menerima kritikan daripada ahli qaryah tempatan.

Seorang ahli qaryah yang enggan namanya diketahui umum semalam memberitahu Harakahdaily bahawa tindakan tersebut didalangi oleh Pengarah Jais, Datuk Haji Mohammed Khusrin Haji Munawi serta seorang bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor (Umno).

“Dalangnya Haji Khusrain dan melalui Jais ini, Umno menguasai semua masjid dan surau, terutama yang aktif melaksanakan majlis ilmu dan tazkirah,” jelas beliau kita dihubungi kelmarin.

Menurut beliau, kesemua Jawatankuasa Surau al-Hidayah, Jalan B6, Fasa B, Taman Melawati pernah dipecat kesemuanya pada tahun 1999 oleh Datuk Seri Dr. Mohamed Khir Toyo kerana mereka enggan melayan kemahuan Menteri Besar Selangor yang pada ketika itu dilihat sebagai anti majlis ilmu, kuliah agama dan majlis tazkirah di surau dan masjid.

Tambahnya lagi, Surau al-Hidayah pernah dilabelkan sebagai ‘Surau Pembangkang’ oleh bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin di dalam akhbar Utusan Melayu kerana surau tersebut dilaporkan acap kali menjemput beberapa pendakwah bebas yang lantang untuk menyampaikan kuliah dan tazkirah kepada ahli-ahli qaryah Taman Melawati.

Disebabkan dua pengalaman pengalaman itu sebelum ini, ahli qaryah yang kebanyakannya merupakan pesara tentera hari ini enggan mengkritik pihak berkuasa terbabit secara terbuka.

Seorang lagi ahli qaryah yang enggan namanya diketahui umum memberitahu Harakahdaily bahawa Jais telah mengarahkan jawatankuasa Masjid al-Hidayah, iaitu masjid yang baru dirikan jauh dari Surau al-Hidayah, B6 supaya merampas watikah mengadakan solat Jumaat dari Surau al-Hidayah.

Tambahnya lagi, Jais mengarahkan demikian mungkin disebabkan masjid tersebut masih belum menerima watikahnya yang tersendiri sehingga kini.

Rampasan watikah Surau al-Hidayah itu sekaligus mengakibatkan dana tabung qaryah Surau al-Hidayah yang bernilai lebih RM140,000 terpaksa diserahkan pada jawatankuasa Masjid al-Hidayah, Fasa J Taman Melawati, atas arahan Jais sendiri.

“RM140,000 itu adalah duit kita (Surau al-Hidayah) untuk mengadakan kuliah dan tazkirah, kerana watikah kita dirampas oleh Masjid al-Hidayah, Jais paksa kita serah duit tabung anak-anak qaryah kita pula,” jelasnya.

Menyedari insiden tersebut, beliau yang juga ahli qaryah Taman Melawati sejak 15 tahun yang lalu, menasihatkan jawatankuasa masjid yang baru supaya berlaku adil ke atas ahli-ahli qaryah Jalan B6, Fasa B, Taman Melawati tersebut.

“Saya nasihat mereka (supaya) gunakan nama baru untuk masjid di Fasa J itu kerana JAIS boleh beri watikah yang baru...tidak perlu ambil watikah dari surau (al-Hidayah) ini, tak perlu ambil duit tabung surau ini,” jelasnya.

Seorang lagi bekas ahli jawatankuasa Surau al-Hidayah memberitahu Harakahdaily, sejak masjid yang bernilai lebih RM10 juta itu dibina, Surau al-Hidayah tidak diurus dengan profesional.

“Seorang imam yang bukan rakyat Malaysia dilantik sedangkan undang-undang Jais tidak membenarkannya, jadi kita (ahli qaryah Surau al-Hidayah) perlu cari duit luar untuk tampung gaji imam tersebut.

“Sembahyang berjamaah lima waktu di sini kadang-kadang tiada imam, tiada bilal dan kita sendiri pun tak tahu dengan siapa kita perlu berurusan kerana semua Ajk surau ini dipindahkan ke Masjid (al-Hidayah) dengan tidak ada mesyuarat dan apa-apa pemberitahuan,” jelasnya.

Seorang ahli qaryah yang lain, yang mengaku mengambil tanggungjawab menguruskan masjid secara sukarela yang ditemui Harakahdaily turut mengkritik kepemimpinan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor kerana gagal menyelesaikan konflik kepentingan yang dialami oleh ahli-ahli qaryah Surau al-Hidayah tersebut.

“Dulu, waktu Umno perintah negeri, semua surau dan masjid kena kawal. Selepas Pakatan Rakyat perintah negeri pun, tak ada apa-apa perubahan,” jelasnya.

“Sejak Pakatan Rakyat perintah negeri (Selangor), Azmin Ali (Ahli Parlimen Gombak) dan Shaari Sungib (Adun Hulu Klang) tak dibenarkan beri kuliah atau khutbah (Jumaat) di sini kerana ada ‘orang’ Jais di sini,” jelas beliau.

Muhammed Khusrain cuba dihubungi pagi tadi, namun Cik Saidah Muskam, iaitu Pegawai Peribadi (PA) bagi Pengarah Jais memberitahu Harakahdaily bahawa Muhammed Khusrain tidak ada di pejabatnya kerana menghadiri suatu majlis rasmi.

Ustaz Basori Omar, iaitu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid/Surau yang dihubungi kemudian, memberitahu Harakahdaily bahawa pihaknya tidak mengetahui secara mendalam tentang masalah yang dihadapi oleh ahli qaryah Surau al-Hidayah terbabit.

Pun begitu, beliau berjanji untuk memberi penjelasan lanjut pada tengah hari ini.

Tiada ulasan: