"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ibu mangsa mati didera kekasih nafi hamil

KUALA LUMPUR, 1 Mac: Nurhanim Aziz, 25, ibu mangsa dera Syafia Humairah Sahari, 3, menafikan laporan media bahawa beliau sedang mengandung empat bulan hasil hubungan dengan suspek yang membunuh anak perempuannya itu.

Beliau berkata laporan akhbar itu mengaibkan dirinya dan menyebabkan beliau bertambah sedih dan tertekan.

“Saya tidak mengandung seperti yang dilaporkan... sudahlah saya kehilangan anak, ditambah pula dengan dakwaan tersebut membuatkan saya bertambah sedih,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Sungai Plong, Kuang, di Sungai Buloh dekat sini.

Laporan sebuah akhbar semalam juga menyebut beliau dan suspek berusia 28 tahun itu turut memiliki seorang anak lelaki berusia setahun enam bulan.

Nurhanim mendakwa anak bongsunya itu, Shakimi Iqbal Sahari, adalah anak bersama-sama suaminya Sahari Usol, 33, yang kini ditahan reman tanpa jaminan di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan jenayah sejak 2006.

Menceritakan kejadian itu, Nurhanim berkata beberapa hari sebelum kejadian, berlaku pergaduhan antara beliau dan suspek menyebabkan suspek tertekan kerana perlu menjaga kedua-dua anaknya semasa beliau keluar bekerja.

“Kami bergaduh mulut saja tetapi tidak sehingga dipukul dan suspek juga tidak pernah marah anak-anak saya di depan saya.

“Kali terakhir saya jumpa Syafia Humairah ialah pada Rabu lepas dan dia gembira sangat nak keluar dengan Abang Mat (panggilan mangsa kepada suspek) sebab dah lama tak jumpa dengan suspek sejak beberapa minggu lalu,” katanya.

Nurhanim berkata beliau menerima panggilan daripada suspek kira-kira 8.30 malam pada hari kejadian yang memberitahunya Syafia Humairah telah meninggal dunia akibat jatuh motosikal.

“Masa dia hubungi saya, dia menangis-nangis beritahu kejadian yang menimpa anak saya dan saya amat terkejut,” katanya.

Beliau tidak menyangka suspek yang berperwatakan baik dan sering bergurau dengan anak-anaknya merupakan seorang yang kejam dan beliau tidak akan memaafkan perbuatan suspek.

Pasangan itu telah menjalinkan hubungan sejak empat tahun lalu dan bercadang untuk berkahwin tahun ini selepas proses tuntutan fasakh Nurhanim selesai.

Dalam pada itu, polis percaya terdapat lebih daripada seorang individu yang terlibat dalam kes penderaan hingga mengakibatkan kematian Syafia Humairah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Bakhtiar Rashid berkata siasatan awal mendapati suspek utama, yang kini ditahan reman tujuh hari, tidak melakukan pembunuhan berseorangan tetapi kemungkinan melibatkan sekurang-kurangnya lima individu lain.

“Siasatan awal mendapati terdapat dua kemungkinan iaitu individu-individu itu turut terlibat mendera Syafia atau mereka tidak melakukannya tetapi mengetahui kanak-kanak terbabit telah didera.

“Bagaimanapun polis sedang mengesan kesemua mereka yang disyaki terlibat termasuk bapa suspek untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Diminta mengulas kebarangkalian mangsa adalah anak kepada suspek, Bakhtiar enggan mengulas lanjut dan berkata tiada sebarang ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan bagi mengesahkan perkara itu.

“Saya tidak boleh kata ya atau tidak kerana belum ada pihak yang meminta ujian DNA dilakukan bagi mendapatkan pengesahan berhubung perkara itu.

“Namun, hal ini akan dipertimbangkan selepas polis merujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenai laporan yang mendakwa ibu mangsa bersekedudukan dengan teman lelakinya (suspek),” katanya.

Bakhtiar turut kecewa apabila tiada saksi tampil memberikan maklumat sejurus selepas kejadian itu berlaku dan beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat supaya berbuat demikian.

Syafia Humairah meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Baru setelah mengalami pendarahan di otak dan pecah pada bahagian abdomen.

-Bernama-

Tiada ulasan: