"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jamil Kata Nik Aziz Tak Faham, Saya Pula Tak Faham Dengan Jamil

Mohd Sayuti Omar
SAYA tidak faham dengan ulah dan sikap Menteri Agama, Jamil Khir Bahrom yang kesal dengan Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengeluarkan kenyataan menganggap Mufti Perak, Harussani Zakaria sebagai
ejen Umno. Nik Aziz membuat tuduhan begitu sewaktu membidas balik Harussani yang meyebut namanya dalam satu majlis tanpa kehadirannya beberapa hari lalu.

Nik Aziz merujuk Harussani sebagai ejen Umno apabila berusaha keras untuk menyatukan Pas dengan Umno khasnya di Perak selepas pilihan raya umum lalu. Mufti itu sanggup ke Kota Bharu dalam hujan untuk berjumpa Nik Aziz dan minta Pas menubuhkan kerajaan bersama Umno di Perak.

Kenapa Jamil begitu merasa terhina bagi pihak Harussani apabila Nik Aziz melebelkan Harussani sebagai ejen Umno?

Apakah Jamil Khir tidak menerima keseluruhan Umno sebagai sebuah parti Islam dan parti memperjuangkan Melayu di negara ini maka beliau malu apabila seorang Mufti dikatakan menjadi ejen parti berkenaan?. Cara Jamil membelasah atau mengkritik Nik Aziz itu seolah-olah beliau merasa malu menjadi ahli Umno.

Sepatutnya Jamil tidak merasa begitu dan tidak mempedulikan bidasan dan lebel yang diberikan Nik Aziz kepada Harussani itu. Apakah menjadi ejen Umno itu salah dan satu perbuatan yang menjijikkan? Maksud ejen ialah pekerja atau dalam bahasa lain sebagai buruh, orang perantara atau pun propangandis dalam konteks politik. Biasanya orang menjadi ejen ini diberi komisyen. Jadi salahkah kalau Harussani benar menjadi propagandis Umno?

Bila Jamil mempersoalkan itu menyebabkan orang boleh ragu kepada kepaduan cinta dan penerimaan Jamil kepada Umno sebagai parti memperjuangkan Islam dan Melayu. Kerana kalau beliau bulat hati beliau tidak perlu ribut-ribut dengan bidasan balik baik Nik Aziz malah harus mengucapkan terima kasih kerana Nik Aziz mengikhtiraf Harussani sebagai ejen Umno. Bertuahlah Umno kalau mufti menjadi ejennya tetapi bukan ejen Pas. Apa lagi kedudukan mufti tinggi dalam institusi orang Melayu di mana Umno harus membanggainya.

Lainlah kalau Jamil tidak menerima sepenuh hati Umno sebagai parti Islam. Sebagai parti memperjuangkan Melayu? Maka wajar beliau merasa kesal atas bidasan Nik Aziz itu. Memang tidak sepatutnya mufti untuk menjadi alat kepada parti sebegitu. Bukankah taraf seorang mufti berada di atas menjadi tempat merujuk dan penasihat.

Maka kalau Mufti pun mengambil bahagian dengan menjadi perkakas kepada mana-mana pertubuhan atau badan siasah yang tidak sealiran dengan pegangan agama anutan bangsa Melayu dan membela Melayu maka sangatlah salah mufti berkenaan.

Bukan saja beliau kena tegur dan kutuk tetapi kena didesak melepaskan jawatan!

Sekali lagi saya nak tanya apakah Jamil Khir menganggap Umno parti anti Islam dan anti Melayu maka beliau tidak suka kalau Harussani menjadi ejen kepada parti itu? Apa yang dilakukan Jamil ini nampaknya memberi gambaran buruk kepada Umno. Lainlah kalau Umno itu tepat dan benar seperti mana dianggap Jamil bahawa ia parti yang tidak seharusnya disokong atau seorang mufti yang sedia menjadi alat dan perkakasnya.

Mungkin kerana Jamil ada sedikit pengetahuan agama menyebabkan beliau mempersoalkan gelaran Nik Aziz ke atas Harussani yang menjadi ejen Umno itu. Begitukah?

Tiada ulasan: