"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kartika menghadap Tengku Mahkota Pahang, rayu hukuman dilaksana

G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 3 Mac: Bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Sukarno, 32, pagi ini menghadap Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan melahirkan hasrat agar hukuman sebatan yang sudah tertanggauh lebih enam bulan dilaksanakan.

Pertemuan kira-kira setengah jam berlangsung di Majlis Agama Islam Negeri Pahang di Pekan.

Bagaimanapun keputusan berhubung pelaksanaan hukuman sebatan ke atas Kartika akan dititahkan oleh Tengku Mahkota kemudian.

“Hasil perbincangan tidak boleh didedahkan, tetapi keputusan Tengku Mahkota akan dimaklumkan kemudian... Kartika masih dengan pendirian tidak merayu,” kata bapa saudara Kartika, Amlir Ayat ketika dihubungi The Malaysian Insider di Pekan, Pahang.

Kata beliau Kartika masih dengan pendirian mahu hukuman enam sebatan ke atasnya diteruskan.

“Kartika masih dengan pendiriannya mahu hukuman sebatan dijalankan,” katanya.

Pertemuan hari ini dilihat telah memberi petunjuk kepada pelaksanaan hukuman sebatan yang ditangguh Ogos lalu.

Kartika yang kesnya menjadi perhatian ramai dan menjadi polemik telah menghantar surat memohon menghadap Tengku Abdullah, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pahang, berhubung pelaksanaan hukuman merotan awal bulan lalu.

Dia lebih menyatakan kesediaan agar hukuman ke atasnya dijalankan termasuk di khalayak ramai.

Sebelum ini Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Manan Abdul Rahman memberitahu bahawa pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika akan diputuskan selepas bekas model sambilan itu menghadap Tengku Abdullah.

Bulan lalu, Tengku Mahkota Pahang juga bertitah, keputusan untuk menentukan tarikh pelaksanaan hukuman tersebut akan diumumkan dalam tempoh sebulan lagi.

Kartika merupakan wanita pertama yang dijatuhi hukuman enam sebatan oleh Mahkamah Syariah Kuantan.

Kartika dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus selepas didapati bersalah mengambil minuman keras di khalayak ramai di sebuah hotel di Cherating, Pahang.

Sebelum ini Kartika berkata tiada langsung hasrat untuk merayu malah tidak pernah terlintas di fikiran untuk dia melarikan diri daripada menerima ‘hukuman dunia’ atas ketelanjurannya dua tahun lalu itu.

Jika menjalani hukuman itu, Kartika bakal wanita Islam pertama dihukum sebat di bawah Seksyen 136, Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Kartika telah melunaskan bayaran denda RM5,000.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: