"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes qazaf: Zul Noordin tarik diri dari bela Anwar

G Manimaran

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin, yang dipecat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabtu lalu, tidak akan mewakili kes qazaf Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

Surat yang dialamatkan kepada Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekuatan hari ini turut dimuatkan dalam blognya lewat petang ini.

Dalam surat itu, Zulkifli tidak menyatakan sebab beliau menarik diri daripada mewakili Anwar.

Bagaimanapun ketika dihubungi The Malaysian Insider, Zulkifli berkata beliau sendiri memutuskan untuk menarik diri selepas mengambil kira perkembangan semasa yang tidak lagi kondusif untuk menganggotai pasukan guaman Anwar.

“Ini keputusan profesional saya... saya sendiri yang membuat keputusan, tiada tekanan daripada sesiapa termasuk Anwar sendiri. Malah, Anwar sendiri tidak menghubungi saya,” kata beliau yang kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Zulkifli menambah, beliau mengambil keputusan itu selepas firma guaman Kamar Ainiah, Raziff & Zashidi menghubunginya kira-kira 4 petang tadi memaklumkan wakil rakyat itu masih merupakan peguam utama kes ini.

Kamar Aniah Kamaruzaman dari firma guaman itu merupakan seorang lagi peguam pasukan Anwar dalam kes ini.

“Bagaimanapun selepas berbincang dengan kawan-kawan saya susulan panggilan itu (dari firma guaman Kamar Ainiah, Raziff & Zashidi), saya memutuskan untuk menarik diri.

“Saya merasakan jika saya terus mewakili Anwar dalam kes ini, saya akan terpaksa berkompromi dalam prinsip-prinsip saya.

“Jadi adalah lebih baik saya berundur daripada mewakili kes ini,” katanya lagi.

Kes qazaf dijadual untuk disebut semula pagi esok.

Dalam surat yang difaks kepada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan petang tadi, Zulkifli berkata, “dimaklumkan bahawa berdasarkan kedudukan mutakhir yang sedia dimaklumi, saya tidak bersedia meneruskan perwakilan mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kes permohonan di atas (kes qazaf).”

“Saya dengan ini memaklumkan menarik diri dan terhenti daripada mewakili dan atau bertindak sebagai peguam syarie Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Sehubungan itu kata Zulkifli beliau tidak akan hadir pada sebutan kes qazaf Anwar pagi esok.

Salinan surat juga dihantar kepada firma guaman Kamar Ainiah, Raziff & Zashidi, Zainul Rijal & Associates dan Anwar sendiri.

Semalam Zulkifli mengeluarkan kenyataan terbuka balas mengkritik Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar, sambil mencabar beliau melepaskan jawatan itu dan bertanding mencabarnya di kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu

Ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini, Zulkifli berkata setakat pagi tadi beliau masih merupakan peguam utama Anwar dalam kes yang difailkan terhadap bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Oleh itu katanya, beliau akan berada di mahkamah esok atas kapasitinya sebagai peguam yang telah dilantik secara rasmi oleh Anwar, yang juga Penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat.

“Berdasarkan rekod, saya masih merupakan peguam Anwar... saya akan berada di mahkamah esok. Sama ada saya akan diminta tarik diri ataupun sebaliknya, saya perlu berada di mahkamah (esok).

“Jika saya diminta menarik diri, saya juga kena memaklumkan secara rasmi kepada mahkamah. Jadi, saya akan berada di mahkamah esok,” kata beliau sambil menambah, apa yang dilalui sekarang bukan sesuatu yang bersifat peribadi.

Zulkifli memberitahu beliau akan bertindak secara profesional sebagai seorang peguam dalam kes qazaf.

Beliau pernah terlibat dalam pasukan peguam Anwar dalam kes peringkat awal selepas beliau dipecat dari jawatan kerajaan dan parti pada September 1998.

Hakim Syarie Mohd Shukor Sabudin juga akan mendengar bantahan awal dikemukakan oleh pihak pembelaan, diketuai peguam Zainul Rijal Abu Bakar iaitu mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah yang akan mendengar kes ini, prosedur permohonan yang tidak dibuat mengikut Akta Prosedur Mal 1998 serta kelayakan Zulkifli untuk mewakili Anwar.

Pada 7 Jan lepas, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah bagi perintah supaya pihak pendakwaan meneruskan pertuduhan qazaf terhadap Saiful.

Dalam tuntutan notis permohonan itu, Anwar menamakan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom sebagai responden.

Anwar memohon perintah mahkamah mengarahkan Shamsuddin menggunakan kuasanya yang sedia ada padanya untuk menjalankan prosiding pertuduhan qazaf terhadap Saiful dan menghalang Che Mat dan Jamil daripada menghalang Shamsuddin menjalankan pertuduhan itu.

Mengenai serangan ke atas Wan Azizah, Zulkifli menjelaskan beliau telah memaklumkan Presiden PKR itu semalam melalui seseorang bahawa akan mengeluarkan kenyataan balas berhubung permintaannya agar mengosongkan kerusi Kulim-Bandar Baharu.

Zulkifli mempertahankan tindakannya berkata beliau mengeluarkan kenyataan semalam kerana pendirian Wan Azizah kelihatan sebagai “serangan peribadi.”

“Oleh kerana kenyataan Wan Azizah sangat bersifat berperibadi, mendakwa saya tidak berprinsip... maka saya tidak boleh berdiam diri.

“Pun begitu sebelum saya mengeluarkan kenyataan semalam, saya melalui seseorang telah memaklumkan, menyampaikan mesej kepada Wan Azizah bahawa saya akan mengeluarkaan kenyataan balas berhubung pendiriannya kelmarin,” katanya.

“Sekurang-kurangnya Wan Azizah sepatutnya menghubungi saya dan memaklumkan secara peribadi jika beliau ada apa-apa hendak katakan, bukannya secara terbuka menyerang saya secara peribadi,” katanya.

Dalam kenyataannya semalam, Zulkifli menasihatkan Wan Azizah supaya tidak berperang, sebaliknya menegaskan agar beliau melepaskan jawatannya atas alasan sudah gagal memimpin PKR.

“Saya menasihatkan Wan Azizah supaya beliau sendiri meletakkan jawatan Presiden kerana gagal mempertahankan dasar PKR yang kononnya berikrar akan mempertahankan Islam dan kedudukan istimewa umat dan institusi Islam saperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan,” kata Zulkifli.

Zulkifli juga mencabar Wan Azizah jika berani agar bertanding di kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu, satu lawan satu.

Bagaimanapun Wan Azizah tidak boleh bertanding selama lima tahun sehingga Ogos 2013.

Kata Zulkifli, isteri Anwar itu lebih daripada tahu yang beliau tidak sepatutnya memilih untuk berperang dengannya.

“Tetapi Wan Azizah telah membuat kenyataan yang mengutuk saya, saya terpaksa dan akan hanya menjawab kutukan itu, dan saya berharap selepas ini Wan Azizah akan berhenti dengan serta-merta daripada memilih untuk terus menyerang saya,” katanya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: