G. Manimaran
HULU SELANGOR, 21 April: Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mempertahankan pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon kerusi Hulu Selangor ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) merasai kehilangan Dr Halili Rahmat, kelmarin.
Halili, bekas bendahari PKR Hulu Selangor dan nama yang termasuk senarai tiga terakhir untuk dipertimbang mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Hulu Selangor sekarang ini, keluar PKR untuk menyertai Umno.
Pada malam hari keluar PKR, Halili berucap di majlis ceramah Umno di Sungai Buaya di sini.
“Saya diberitahu kami telah membuat pemilihan calon yang betul... kami pilih calon yang betul untuk bertanding,” kata Anwar ketika berucap di Bukit Sentosa di sini malam tadi.
“Jika kita memilih dia (Dr Halili), anda boleh bayangkan dia boleh isytiharkan yang dia sudah hilang keyakinan dengan kepimpinan parti ketika sedang berkempen,” kata beliau di hadapan lebih 3,000 orang malam tadi.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga berucap di pentas malam tadi.
Anwar yang juga penasihat PKR berkata demikian sehari selepas Halili keluar parti itu atas alasan ia sudah lari daripada perjuangan asal.
PKR memilih anggota Majlis Pimpinan Pusatnya, Datuk Zaid Ibrahim yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk membawa cabaran Pakatan Rakyat.
Beliau kini berhadapan dengan persaingan satu lawan satu membabitkan calon Barisan Nasional P. Kamalanathan.
Setakat ini, PKR sudah kehilangan empat Ahli Parlimen termasuk seorang yang dipecat. Sejak Februari lalu mereka yang keluar PKR ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Bagan Serai dan Nibong Tebal.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin pula telah dipecat bulan lalu, dan turut menjadi wakil rakyat Bebas.
Ketua Umum Pakatan Rakyat itu juga berkata, partinya tidak akan terjejas dengan keputusan dua pemimpin Wanita PKR Perak semalam.
Ketua pilihan raya PKR Perak Soraya Sulaiman dan timbalannya Roshanita Mohd Basir meninggalkan parti itu untuk menyertai Umno.
Suami Roshanita, Saghazali Abd Kadir juga mengumumkan dia akan meninggalkan PKR untuk menyertai Umno.
Dua hari lalu beberapa pemimpin Angkatan Muda Keadilan, sayap pemuda PKR Shah Alam juga keluar parti.
“Ini bukan kali pertama. Saya sentiasa bertanya siapa mereka? Kadangkala anda mendengar pemimpin Pemuda keluar, beberapa pemimpin Wanita keluar.
“Kesemua mereka dilayan seperti pemimpin-pemimpin kebangsaan,” kata Anwar.
“Kita cuma ada 4,000 ahli di sini tetapi kita dengar 8,000 telah keluar,” katanya dalam nada menyindir kenyataan pihak lawan beliau.
Sehari sebelum hari penamaan calon, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Arang Tan Wei Shu telah berhenti dari PKR untuk bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.
Tan telah digugurkan sebagai Exco kerajaan negeri Kedah bulan lalu.
Sejak pilihan raya umum 2008, PKR telah kehilangan enam Adun.
Anwar juga berkata barisan kepimpinan PKR sememangnya sudah menyedari rancangan Halili untuk keluar parti.
Dalam pada itu Anwar ketika ditemui wartawan selepas itu berkata, beliau tidak tahu sama ada Halili dibayar untuk keluar parti.
“Dr. Halili, bukan kita menentang Dr. Halili tapi (kami) pilih calon yang tegas, calon yang berprinsip... itu yang ada pada Datuk Zaid Ibrahim,” katanya.
“Datuk Zaid seorang yang tegas dan tidak goyang,” katanya.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan