Dua puluh lapan jam berada di dalam penjara Israel dan diasak dengan deraan mental oleh tentera Zionis tidak mematahkan semangat wartawan penyiaran Ashwad Ismail untuk terus berjuang membuka mata dunia mengenai kekejaman rejim itu.
Anak muda berusia 25 tahun dan bertugas di stesen berita Astro Awani itu berkata walaupun pengalaman yang ditempuhnya amat perit namun tanggungjawab sebagai penyalur maklumat khususnya mengenai kekejaman rejim tersebut tetap akan diteruskan.
"Misi kita belum selesai. Misi untuk tegakkan realiti masih belum dapat dilakukan. Hanya secebis sahaja konflik di Asia Barat yang dapat diketengahkan dalam misi ini," katanya kepada pemberita di Sepang hari ini.
Ashwad tiba di tanahair jam 5.45 pagi tadi bersama 11 lagi rakyat Malaysia selepas dibebaskan oleh Israel pada Rabu lepas, dua hari setelah kapal 'Mavi Marmara' yang dinaiki mereka untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza, diserang tentera rejim itu.
Ketibaan mereka dari Istanbul, Turki disambut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Walaupun kepenatan, pelukan sayang kaum keluarga yang sabar menunggu di kompleks itu jelas menceriakan mereka. Bacaan doa selamat, nyanyian nasyid dan laungan takbir daripada orang ramai yang menyambut ketibaan mereka menguatkan lagi semangat kumpulan itu.
Mengulas lanjut, Ashwad berkata walaupun secara fizikal mereka tidak diapa-apakan oleh tentera Israel, namun deraan mental adalah memeritkan.
"Israel memang pandai dengan deraan mental. Fizikal tidak diapa-apakan tetapi mental diasak dari pelbagai sudut. Kita di Malaysia jarang melawat penjara, tak pernah pun masuk penjara, tapi ini di Israel. Berada di situ sudah cukup terseksa, inikan pula menghadapi tindakan-tindakan kejam mereka," katanya.
Walaupun misi itu dianggap gagal dari satu aspek kerana tidak mencapai objektif untuk menghantar bekalan kepada penduduk Gaza, Ashwad berkata terdapat kejayaan lain di sebaliknya.
"Kejayaannya adalah sedikit sebanyak menjadi pencetus gelombang baru ke arah mengetepikan atau memulaukan Israel dalam lanskap geopolitik dunia. Sikap penjarahan dan dasar anti Islam mereka terhadap bumi Palestin sepanjang enam dekad nyata memberi kesan besar," katanya.
Selain itu insiden tersebut juga mencetuskan tekanan hebat daripada masyarakat antarabangsa ke atas rejim menyebabkan mereka terpaksa akur.
"Bukan sahaja dari Turki, tetapi pemimpin-pemimpin Yahudi di negara-negara Eropah turut mengecam kekejaman Israel. Kita dapat lihat kapal Rachel Corrie kini tidak dikenakan tindakan ganas walaupun situasi mereka sama seperti kami.
"Terdapat cubaan merampas kapal dan dibawa ke Pelabuhan Ashdod tetapi tiada pergelutan dan pertumpahan darah berlaku," katanya.
Bagi jurukamera Astro Awani yang turut serta dalam misi tersebut, Shamsul Kamal Abdul Latip, 43, pengalaman ketika berada dalam tahanan Israel adalah sangat memeritkan dan tidak pernah terjangkau di ingatannya akan melalui detik seperti itu.
"Kami terpaksa berjemur di tengah panas di atas kapal Israel selama 15 jam sebelum tiba ke Pelabuhan Ashdod. Pada masa itu nak minum pun susah...kawan-kawan cuba memberi minuman dalam keadaan tangan masing-masing terikat.
"Barang-barang pula seperti kamera dan peralatan lain turut dirampas. Kami ingat tak dapat balik tapi pejabat yang menguruskan barang rampasan kemudiannya memulangkannya semula kepada kami. Malangnya ada peralatan tersebut yang sudah rosak akibat dirampas dengan kasar oleh tentera Israel," katanya.
Ditanya sama ada dia akan mengikuti tugasan sedemikian pada masa akan datang, Shamsul berkata perkara itu akan hanya difikirkan selepas mendapat rehat yang cukup dan fikirannya kembali tenang.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan