"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kos Muktamar Terus Meningkat Tarik Perhatian Perwakilan

KOTA BAHARU, 11 Jun: Peningkatan kos kewangan yang semakin tinggi pada setiap muktamar tahunan PAS menarik perhatian perwakilan yang khuatir ia akan menjejaskan kewangan parti.

Perwakilan Kedah, Adnan Saad berkata berbanding muktamar yang diadakan di Ipoh, Perak iaitu sebanyak RM38,000 tetapi meningkat ketara ketika muktamar di Selangor tahun lalu sebanyak RM119,789.

"Apakah anggota PAS sudah pandai membuat tuntutan yang tinggi?," katanya ketika bertanya perkara itu sebelum muktamar meluluskan penyata kewangan tahunan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di sini, Jumaat.

Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli ketika menjawab soalan itu berkata kenaikan berkenaan bukanlah sesuatu agak ketara dan menyifatkan ia sebagai satu kenaikan yang "sangat sedikit".

Katanya apa yang berlaku ketika muktamar di Selangor adalah kerana pihak ibu pejabat parti pada mulanya hanya mengeluarkan peruntukan pendahuluan sahaja tetapi akhirnya ia dijadikan sebagai satu perbelanjaan parti.

"Tidak apalah, lagi pun perbelanjaan yang kita keluarkan itupun untuk parti juga iaitu menggerakkan muktamar," katanya.

Ketika menjawab satu lagi soalan Adnan yang ingin tahu kenapa kompleks parti yang diuar-uarkan dulu belum dibina, Mohd Hatta berkata satu lokasi telahpun dipilih dan jika semuanya selesai ia akan dibina tidak lama lagi.

Bagaimanapun, katanya kos pembinaan masih belum mencukupi dan memerlukan sumbangan ramai bagi merealisasikan hasrat itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustaffa Ali berkata cadangan Adnan agar pihak ibu pejabat parti mengeluarkan kad bermutu tinggi kepada anggota sebagai kad keanggotaan PAS akan dikaji secara mendalam.

Adnan sebelum itu berkata adalah tidak praktikal lagi ibu pejabat memberikan sijil keanggotaan PAS kerana ia sudah ketinggalan zaman.

"Tesco pun keluar kad ahli dan takkan PAS tidak boleh keluarkan kad bermutu tinggi sebagai tanda kami ini anggota parti yang boleh ditunjuk apabila diminta," katanya.
-Bernama-

Tiada ulasan: