"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS tidak tukar prinsip biar pun tewas

Wartawan Kita
KOTA BHARU, 12 Jun:
PAS sebuah parti yang paling konsisten di negara ini biar pun banyak kali kecundang dalam pilihan raya namun tidak pernah menukar dasar parti itu semata-mata bagi meraihkan kemenangan.

Perwakilan Dewan Ulamak PAS Pusat, Mokhtar Senik berkata, PAS akan hancur sekiranya dasar parti itu ditukarkan semata-mata bagi meraihkan kemenangan pilihan raya.

"Tetapi alhamdulillah PAS tetap kekal dengan dasarnya dan tidak berubah walaupun mengalami jatuh dan bangun dalam politik. Kalau berjuang selain daripada Islam kita akan hina.

"Kita berjaya membawa perubahan dengan prinsip Islam. Kita perkenalkan Islam di tengah-tengah masyarakat umum. Kita dedahkan kepada mereka mengapa perlu sokong PAS. kita memberi ilmu kepada rakyat, sebarkan hujah berdasarkan kepada ilmu," katanya ketika membahas ucapan dasar presiden, pada muktamar hari ini.

Beliau juga berkata, ada orang Islam takut hendak sokong PAS kerana terpengaruh ajaran sesat yang disebarkan Umno.

Katanya, sebab itu kita perlu membuat taklimat, penerangan dan diskusi mengenai kehebatan Islam. Kita perlu terangkan bahawa Islam itu adil. Dan InsyaAllah akhirnya mereka boleh terima.

Kata beliau juga kejayaan PAS mendekati orang bukan Islam menyebabkan Umno menjadi kepanasan dan takut sehingga mereka cuba mempengaruhi orang ramai bagi mengelirukan mereka.

Beliau berkata, Umno mencanangkan kepada rakyat di seluruh negara tidak perlu lagi memberi sokongan kepada PAS kerana kononnya parti itu sudah mengubah dasar perjuangan disebabkan menerima orang bukan Islam sebagai ahli parti.

Katanya Umno mempengaruhi rakyat supaya tidak lagi menerima PAS kerana sudah terpesong berbanding asal perjuangan asal.

"Inilah sebenarnya menggambarkan Umno begitu takut dengan ilmu sehingga mampu memberi kefahaman lebih jelas kepada rakyat. Umno takut hujah ilmu yang ada mampu menentang kebatilan," katanya.

Beliau juga menganggap ucapan dasar presiden PAS semalam bertepatan dengan situasi semasa lanskap politik tanah air yang semakin mencabar sekarang dengan mengenegahkan Islam adil untuk semua.

Tiada ulasan: