Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 11 Jun: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bakal merasmikan konsert Naskah Cinta yang akan diadakan khusus sempena Muktamar PAS Pusat Kali Ke-56 malam ini.
Konsert Naskah Cinta yang diketuai oleh Mua’dz Dr Dulkefly Ahmad, akan mempersembahkan lagu-lagu nasyid bersama beberapa orang lagi penyanyi jemputan.
Ianya bakal mencipta sejarah baru PAS dalam menongkah arus globalisasi apabila turut menyelitkan hiburan berunsur dakwah dalam muktamarnya melalui program khas.
Pengerusi Tetap, Ustaz Abu Kassim Lebai Abdullah, ketika membuat pengumuman itu turut menjemput para pimpinan, perwakilan dan pemerhati untuk hadir pada majlis itu.
"Semua para pimpinan, pemerhati dan perwakilan saya seru hadirlah beramai-ramai, apa lagi majlis ini akan dirasmikan oleh Mursyidul Am sendiri,"ujarnya.
Sebagai bukti PAS mengiktiraf hiburan berunsur Islam, Lajnah Seni dan Budaya PAS Pusat telah diwujudkan dengan dipengerusikan oleh Dr Dzulkefly Ahmad.
Dzulkefly dalam risalah konserta ini berkata, bersesuaian dengan perkembangan politik PAS yang menghayati Islam yang syumul, PAS telah menampilkan tanggungjawab yang baru itu untuk dijadikan sebagai medan baru.
Katanya lagi, PAS juga akan merumus serta mempromosikan satu tasawur tentang seni dan budaya dari perspektif Islam.
"Kita berharap lajnah ini menjadi wadah kepada penggiat seni dan peminat memahami pengertian sebenar seni menurut Islam di samping mendampingi PAS,"ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan