"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jui Meng sahkan Istana Johor tarik balik ‘Datuk’

JOHOR BARU, 10 Jun: Anggota Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Chua Jui Meng hari ini mengesahkan bahawa Istana Johor telah menarik balik dua darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepadanya.

Katanya beliau dimaklumkan oleh pegawai Istana Johor mengenai langkah penarikan balik dua darjah kebesaran itu menerusi dua panggilan telefon pada Selasa dan hari ini.

“Saya terima panggilan telefon daripada Datuk Abdul Rahim Ramli (setiausaha Majlis Jumaah Diraja Johor) dua hari lepas tentang penarikan balik darjah itu dan (panggilan telefon) hari ini beliau meminta saya datang ke Johor Baharu untuk memulangkannya,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, Chua yang juga bekas Menteri Kesihatan mulai 1995 hingga 2004 dan bekas Naib Presiden MCA, berkata beliau tidak dapat pergi ke Johor Baharu hari ini kerana terpaksa berada di Langkawi bagi satu majlis politik.

Semasa dihubungi di Alor Setar, Chua berkata sehingga kini beliau belum lagi menerima surat rasmi dari Istana Johor tentang langkah penarikan balik darjah kebesaran terhadapnya.

Chua dianugerahkan darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Johor dan Seri Paduka Mahkota Johor, yang kedua-duanya membawa gelaran Datuk, oleh Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar.

Ditanya sama ada Istana Johor ada memberikan sebab disebalik tindakan mereka untuk menarik balik darjah kebesaran yang dianugerahkan kepadanya, beliau berkata tiada sebab diberikan.

“Datuk Rahim hanya berkata bahawa Sultan Johor mempunyai hak untuk menarik balik darjah kebesaran itu tanpa sebarang sebab dan saya menghormati hak itu,” katanya.

Bagaimanapun kata Chua, sebagai anak Johor beliau menghormati Sultan Johor.

“Baginda (Sultan Johor) masih raja saya dan sebagai anak watan Johor, saya tetap menghormati baginda,” katanya.

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman ketika ditanya tentang langkah penarikan balik darjah kebesaran Johor terhadap Chua itu enggan mengulas.
-Bernama-

Tiada ulasan: