"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

DHPP laungkan takbir di Muktamar PAS

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 12 Jun:
Bukan sahaja sudah menjadi ahli tetapi kini para pemimpin Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP) sudah mula melaungkan slogan PAS iaitu 'Allahu Akbar' yang di sambut oleh ahli biasa PAS di Muktamar PAS ke 56 hari ini.

Mereka juga mencatatkan sejarah hari ini apabila Setiausaha DHPP, K. Deepakaran bercakap dan membahaskan ucapan dasar Presiden PAS sebagai perwakilan bukannya tetamu sebagaimana sebelum ini.

Dalam ucapannya, Deepakaran meminta parti Islam itu memberi ruang kepada mereka untuk sama berjuang agar ianya dapat mengubah senario politik negara yang kini dikuasai Umno dan Barisan Nasional (BN).

Wakil dewan berkenaan, K. Deepakaran ketika menyampaikan ucapan menyokong ucapan dasar presiden berkata PAS kini semakin ke hadapan dalam mencuri hati golongan bukan Islam untuk terus menyokong parti itu.

Sambungnya, kejayaan PAS dalam mengungguli perkara itu menyebabkan parti Islam itu sering mendapat perhatian golongan terbabit setiap tahun.

“Untuk itu PAS perlu menghadapi cabaran politik pelbagai kaum yang besar, namun saya yakin kemampuan PAS akan berjaya untuk menyuburkan perjuangan parti kita,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa syukur kerana dapat bersama pimpinan untuk bermuktamar buat pertama kali yang dianggapnya sebagai lembaran baru dalam sejarah PAS.

Katanya, PAS bukan sahaja sebuah parti Islam, tetapi turut memperjuangkan semua hak bangsa dan rakyat di negara ini.

Sambungnya lagi, sejarah Islam terdahulu telah membuktikan hubungan baik antara bukan Islam dan pemimpin Islam.

“Nilai keistimewaan itu perlu diwujudkan dan perlu dijaga sebaik mungkin agar ianya berterusan terjaga baik.

“Terima kasih pada semua yang terlibat dalam lajnah perpaduan hingga ianya berjaya membangkitkan semangat bukan Islam untuk bersama PAS," katanya.

Katanya, selepas pelancaran logo PAS For All ianya telah membangkitkan kesedaran politik masyarakat Islam hingga ianya mendapat sambutan meningkat. Ia terbukti di Kota Raja apabila calon PAS, Dr Mariah Mahmud mendapat sokongan padu masyarakat.

Kemenangan itu mengejutkan pemerhati politik negara yang telah membuat perubahan besar hingga berjaya memenangani hati mereka.

Sementara itu, perwakilan Negeri Sembilan, Darus Mansur meminta PAS memperkasakan DHPP khususnya dengan pendidikan khas bagi memberi kefahaman kepada mereka tentang dasar perjuangan PAS yang sebenar.

Membahas ucapan dasar presiden hari ini, beliau berkata, sebagai sayap baru dalam parti, dewan berkenaan perlu diberi penerangan yang berterusan agar mereka terus istiqamah dalam perjuangan.

Sambungnya, DHPP perlu diberi pendidikan tentang perjuangan untuk menegakkan Islam, keadilan dan kebajikan untuk semua kaum.

“Negeri Sembilan sendiri telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai masyarakat kaum untuk menarik mereka yang diadakan di pelbagai tempat termasuk rumah ibadat mereka,”ujarnya.

Selain itu menurutnya, tiga gabungan dewan, iaitu Dewan Ulama, Pemuda dan PAS perlu diperkasakan untuk tujuan yang sama.

Untuk itu, katanya Dewan Himpunan di setiap negeri juga perlu diaktifkan agar mereka tidak terpinggir dengan tidak mengabaikan ahli serta penyokong Islam yang lain.

Tiada ulasan: