Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 10 Jun: Dewan Muslimat PAS tidak akan menyokong sebarang kerjasama politik dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) memandangkan parti itu telah menghianati amanah rakyat.
Bersesuaian dengan keputusan pucuk pimpinan parti, Dewan Muslimat PAS sekali-kali tidak akan bekerjasama dengan mereka apa lagi parti itu memusuhi perjuangan Islam.
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh (gambar) bagaimanapun berkata Dewan Muslimat akan terus mendukung dasar tahaluf siasi yang dilaksanakan oleh PAS Pusat.
"Kita akan bersama-sama mengukuhkan penglibatan dan sumbangan Dewan Himpunan Penyokong PAS dan bersama-sama berperanan dalam Pakatan Rakyat.
"Kita juga masih bersedia membuka pintu dialog dengan sesiapa saja demi menjaga masalah dan kesejahteraan ummah,"ujarnya.
Katanya, sikap terbuka ini selari dengan peruntukan dalam perlembagaan PAS yang akan melakukan apa juga usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan Undang-Undang Negara untuk mencapai semua itu.
Katanya, Dewan Muslimat akan terus mendukung dasar dan strategi terbuka “PAS For All” memandangkan keyakinan dan sokongan bukan Islam dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS sendiri atau NGO di luar akan diperteguhkan.
Bagi memastikan hubungan tersebut semakin utuh, Dewan Muslimat PAS akan mempereratkan hubungan dan dialog antara budaya dan agama dengan berbagai golongan dan etnik minoriti bukan Islam.
"Untuk itu, muslimat peringkat akar umbi akan diminta mendekati dan menyantuni kalangan minoriti yang tertindas serta melebarkan ruang dakwah Islamiyah pada kesempatan yang ada," kata Nuridah.
Pada masa yang sama, Dewan Muslimat PAS katanya akan terus menjadikan kebajikan rakyat antara agenda utama gerak kerja terancang.
Katanya, selama ini kerja-kerja kebajikan telah dapat menjernihkan pandangan serong yang ditanam oleh musuh Islam kepada masyarakat awam.
Katanya, agenda membantu rakyat miskin ini akan berterusan tanpa mengira musim kerana ia menjadi tuntutan Islam untuk membantu golongan miskin dan tertindas.
Sambungnya, kemiskinan yang berleluasa terutama di luar bandar dan penempatan peneroka di pinggiran bandar bukan saja dalam bentuk miskin harta, malah juga miskin aqidah.
"Untuk itu, Dewan Muslimat akan bersama-sama meneruskan misi dakwah dan kuliah-kuliah pengajian awam bagi membantu mereka keluar dari kejahilan,"ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan