"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perjalanan muktamar hari kedua lancar

PENGKALAN CHEPA, 12 Jun: Pengarah Muktamar PAS kali ke-56, Datuk Taqiyuddin Hassan berkata, secara umumnya perjalanan muktamar masuk hari ke dua hari ini lancar seperti yang dirancang.

Beliau yang berpuas hati dengan perjalanan muktamar itu berkata, bagaimanapun pihak penganjur sentiasa bersedia memperbaiki sebarang kesilapan sekiranya berlaku.

"Secara umum perjalanan muktamar dua hari ini lancar, cuma kekurangan sikit-sikit seperti makanan tak cukup tu biasa la.

Mungkin kesilapan pengawalan makanan oleh petugas kita," katanya ketika ditemui hari ini.

Muktamar kali ini katanya menyaksikan kehadiran perwakilan dan pemerhati lebih ramai dari sebelumnya yang pernah diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).

Pada satu-satu masa, dianggarkan lebih 3 ribu perwakilan dan pemerhati memenuhi dewan mengikuti perbahasan.

"Sambutan memang menggalakkan seperti yang kita jangkakan.

"3 ribu perwakilan dan pemerhati dalam satu-satu masa," katanya.

Berhubung kekurangan tempat letak kereta di Putik, beliau berkata kawasan lain disekitar kawasan Putik boleh digunakan bagi mereka yang mahu datang menyaksikan muktamar PAS berlangsung.

Kawasan-kawasan tersebut juga disediakan dengan anggota unit amal bagi memudahkan pengunjung.

"Kita mampu sediakan tempat letak kereta kepada pimpinan dan perwakilan yang hadir di kawasan berhampiran, cuma sebab terlalu ramai, mungkin masih belum cukup.

"Walaubagaimanapun tempat letak kereta dalam jarak yang munasabah masih kita sediakan," katanya.

Tiada ulasan: