"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hu : "Lihat Himpunan Penyokong Sebagai Harapan PAS, Bukan Ancaman"

Dewan Himpunan Penyokong PAS, yang dinaikkan taraf sebagai sayap terbaru parti itu bulan lalu, harus dilihat sebagai “satu harapan” bagi parti Islam itu, bukannya satu ancaman, kata Pengerusinya Hu Pang Chaw.

“Kami menyediakan hubungan dua hala antara PAS dan masyarakat bukan Islam,” kata Hu kepada The Malaysian Insider pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di Pengkalan Chepa dekat sini.

Hu juga berkata, kebimbangan yang diperlihatkan semalam mengenai kehadiran bukan Islam dalam PAS sebenarnya tidak menggambarkan sentimen keseluruhan PAS.

“Saya faham perasaan mereka. Tetapi ia hanya minoriti. Jika majority parti merasakan demikian (tidak senang), Dewan Himpunan (sudah pasti) tidak muncul hari ini,” kata beliau.

Beliau juga berkata, PAS memahami keperluan “pemikiran politik” baru dan dengan itu, penyertaan bukan Islam menunjukkan satu menunjukkan penambahbaikan dibawa kepimpinan tertinggi parti Islam itu.

“Jika mereka hanya memberi tumpuan ke atas pengundi Melayu, mereka tidak akan ke mana,” kata beliau sambil menambah, sebenarnya tiada pertembungan antara arah aliran penyokong Islam dan bukan Islam.

“Matlamat sokongan Melayu dan bukan Melayu berbeza,” katanya lagi.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi dalam pilihan raya umum akan datang, Hu berkata, pihaknya lebih mengutamakan bilangan kerusi boleh dimenangi.

“Saya mengutamakan kerusi boleh dimenangi, bukannya berapa banyak kerusi akan diperuntukkan. Tiada guna jika diberikan 100 kerusi tetapi hanya menang satu.

“Bagaimanapun kami menyerahkan kepada pucuk kepimpinan parti, ia akan dibincangkan bersama PKR dan DAP... ini akan dilakukan oleh pucuk kepimpinan parti,” katanya.

Dewan Himpunan Penyokong PAS hadir di Muktamar Tahunan PAS kali ini dengan membawa 15 wakil sebagai pemerhati rasmi.

Dengan status itu mereka boleh menyertai perbahasan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56.
Ucapan perbahasan sulung dewan itu disampaikan oleh Setiausahanya K. Deepakaran.

Dalam ucapannya Deepakaran berkata, pihaknya menerima PAS kerana mengamalkan semangat toleransi dalam suasana hormat-menghormati yang baik dengan slogan “PAS Untuk Semua”.

“Hak-hak diberikan kepada bukan Islam,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya berharap PAS akan memberi ruang dan peluang untuk mengubah landskap politik negara ini.

Dewan Himpunan Penyokong PAS dinaik taraf daripada Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan pada 2004 tahun ini dengan pelancarannya bulan lalu.

“Dalam pilihan raya umum 2008, pengundi-pengundi bukan Islam memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan calon PAS, antaranya di kawasan Parlimen Kota Raja,” katanya.

“AJK Dewan Himpunan Penyokong PAS akan menonjolkan PAS dalam satu lagi perjuangan menghadap cabaran (politik) pelbagai kaum di negara ini.

“Cabaran amat besar, tetapi dengan bimbingan PAS, kami akan terus menyuburkan perjuangan PAS dan membawa hasil yang lumayan,” kata beliau yang mengakhiri ucapan dengan takbir.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: