"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Tentera Israel memang berniat membunuh'

Ketua misi Life Line For Gaza (LL4G) Noorazman Mohd Samsuddin berkata penggunaan peluru getah adalah sebagai alasan semata-mata kerana terdapat bukti pihak Israel memang berniat membunuh pihak tertentu yang ada di atas Mavi Marmara.

Noorazman dan sebelas lagi sukarelawan Malaysia berada dalam kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza ketika diserang tentera Israel Isnin lepas.

Katanya, beliau dan tiga rakan aktivis - Abdul Halim Mohd Redzuan, Hasanuddin Mohd Yunus dan Jamuliddin Elias - turut ditembak dengan peluru getah dan mengenai masing-masing di bahagian kepala, belakang dan paha.

"Saya ada bukti yang mereka mempunyai niat untuk membunuh. Menggunakan peluru getah hanya sebagai alasan sahaja," katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba di tanah air awal pagi ini.

"Mereka mempunyai senarai nama yang mereka mahu bunuh sebelum naik ke kapal.

"Kami telah menahan tiga anggota tentera dan apabila kami melakukan pemeriksaan, kami temui senarai nama berserta gambar orang yang mereka mahu bunuh.

"Sesetengah daripada mereka ialah tokoh Turki dan antarabangsa... tokoh-tokoh penting dunia. Kami tidak termasuk dalam senarai sebab itu kami tidak ditembak. Kami hanya orang biasa. Salah seorang media Turki yang ditembak memang ada di dalam senarai itu," katanya.

Beliau berkata ketika serangan pada waktu Subuh itu, wakil media telah menunjukkan keberanian dengan terus merakamkan kejadian itu tanpa menghiraukan keselamatan mereka walupun ketika itu dihujani peluru.

"Ketika kami diserang selepas waktu solat Subuh, rakan media telah menunjuk keberanian dan kekuatan mereka tanpa menghiraukan perkara membahayakan mereka dengan peluru ketika itu seperti hujan.

"Mereka cuba merakam sebanyak mungkin untuk tujuan memberikan kesedaran dan maklumat kepada seluruh dunia."

Malah katanya seorang wartawan Indonesia yang dikenali sebagai Suria telah ditembak peluru hidup di dada kanannya.

Namun dalam keadaan kritikal itu beliau masih cuba mendapatkan maklumat-maklumat yang ada walaupun selepas itu maklumat itu telah dirampas.

Noorazaman amat mengharapkan bantuan media untuk menekan Israel bagi menyerahkan bantuan kemanusiaan itu kepada penduduk Gaza melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Kita harapkan rakan media yang ada dapat terus membantu usaha kita untuk membebaskan penderitaan yang dialami rakyat Palestin ini."

Sementara itu, Noorazman berkata mereka juga tidak menyangka dapat keluar dari Israel seawal ini.

"Kami rasa kami akan duduk di sana dalam sebulan, dua bulan atau mungkin setahun dua tahun lagi.

"Apatah lagi kami telah diputuskan hubungan (dengan dunia) luar dengan tidak dibenarkan menghubungi sesiapa. Kami hanya melihat kedutaan-kedutaan negara lain masuk ke dalam penjara.

"Kami tahu Kedutaan Malaysia tidak akan masuk kerana tidak ada hubungan diplomatik (dengan Israel)," kata ketua misi Life Line For Gaza (LL4G) Noorazman Mohd Samsuddin.

Kesemua 12 sukarelawan Malaysia yang selama pulang itu memanjatkan syukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jordan yang berusaha membawa mereka keluar dari Israel secepat mungkin.

"Saya bagi pihak rakan-rakan juga mengucapkan terima kasih kepada Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Jordan. Kami tidak sangka dapat keluar awal.

"Hero sebenarnya bukan kami. Wira yang sebenar adalah mereka yang berdoa, bersolat hajat dan berusaha untuk keluarkan kami. Kamulah sebenarnya wira-wira itu," kata ketua biro Palestin Haluan Malaysia itu.

-Bernama-

Tiada ulasan: