"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Editor media bukan ‘lembu Umno'

Dzulfikar Mashoor
ALOR SETAR, 17 Julai:
Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak ‘melembukan’ media-media arus perdana.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada tindakan kerajaan melarang editor-editor terbabit menggunakan terminologi 'barang naik' ketika melaporkan berita berhubung kenaikan harga barangan asasi rakyat, seperti yang didedahkan Malaysiakini semalam.

"Editor media-media ini bukannya 'lembu Umno', jangan lembukan media-media yang selama ini masih sokong kerajaan," ujar beliau malam tadi di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, di sini.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat berkata, penggunaan istilah 'rasionalisme subsidi' dan 'penyelarasan harga' semata-mata untuk membendung kemarahan rakyat terhadap pentadbiran Najib.

"Dia (Najib) guna terma-terma ini semua sebab dia mahu ‘melembukan’ rakyat, dia takut rakyat terus mengecam pentadbiran dia," ujar beliau sambil mengajak rakyat dan kakitangan kerajaan memulakan protes secara senyap terhadap pentadbiran Najib.

Katanya lagi, tindakan Najib merampas RM570 juta subsidi daripada rakyat sebagai tindakan mementingkan diri sendiri.

"Seseorang bapa pun kalau tak ada duit, dia akan mengikat perutnya, tetapi dia (Najib) sanggup ikat perut kita semua (rakyat) kononnya untuk menjimatkan duit negara.

"Dia mungkin ingat negara ini 'kerajaan laki-bini' dia, saya nak tegaskan di sini bahawa negara ini 'harta rakyat'," tegasnya lagi.

Semalam, Malaysiakini melaporkan, seorang penasihat media di Jabatan Perdana Menteri (JPM) melarang editor-editor terbabit membangkitkan amarah rakyat dengan melaporkan berita berhubung kenaikan harga barangan 5 dalam 1 termasuk petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair (LPG) sejak malam kelmarin.

Mereka, menurut laporan itu lagi, turut diarahkan memberi gambaran yang mesra dan positif kononnya langkah Najib itu sebagai langkah penjimatan kerajaan demi kepentingan negara.

Tiada ulasan: