YB Dr. Mujahid Yusuf Rawa
Mimpi ke Putrajaya adalah mimpi soleh, oleh kerana kalau tidak mimpi ke Putrajaya pun kita bermimpi lain, maka apa salahnya kalau kita bermimpi ke Putrajaya! Itu adalah antara gurauan yang bermain-main di bibir ahli PAS, walaupun gurauan itu tidaklah berapa diminati oleh sesetengah orang, namun ineoundonya menunjukkan kesungguhan PAS untuk ke Putrajaya bukan lagi cubaan seperti dalam filem Pendekar Bujang Lapok tetapi betul-betul namun persoalannya apakah jalan ke Putrajaya semudah mimpi soleh itu?
Apakah jalannya terbentang begitu mudah? Apakah vehicle PAS ke sana? Sanggupkah PAS lakukannya secara solo? Apakah impaknya dan perkiraan collective yang perlu diambil oleh PAS dengan rakan-rakannya dalam Pakatan?
Putrajaya adalah lambang kepada pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, dalam konteks demokrasi hari ini mana-mana parti yang menang majoriti mudah akan menguasai kerajaan. Dalam konteks pentadbiran negeri pula, Pakatan telah pun mnguasai beberapa buah negeri, hanya di peringkat Pusat atau Persekutuan sahaja Pakatan belum lagi mempunyai lebihan kerusi untuk menang. Pernah satu ketika kita dikejutkan dengan peristiwa 16 September, ia satu kontraversi yang dibangkitkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang di mana dikatakan beberapa MP BN akan lompat khusus dari Sabah dan Sarawak untuk menyertai kem Pakatan dan dengan itu cukup kerusi untuk memerintah kerajaan Persekutuan.
Caranya nampak mudah, iaitu apabila sudah cukup majoriti, Anwar akan berjumpa dengan YDP Agung, lalu Raja Berpelembagaan itu akan mengistyharkan berdasarkan kepada bilangan kerusi bahawa Pakatan adalah Kerajaan yang memerintah. Ia semua berlaku pada 16Sept sebagai simbolik kepada pembentukan Malaysia yang sebenarnya apabila Sabah dan Sarawak satu ketika dahulu menjadi sebahagian daripada Malaysia.
Isu September 16 adalah sebenarnya gambaran kepada ‘cara’ untuk menguasai Kerajaan Persekutuan di mana asasnya ialah ‘cukup kerusi’, tidak kiralah bagaimana cukup kerusi ini hendak dilakukan tetapi mengikut demokrasi simple majority, dengan lebihan satu kerusi pun sesebuah parti boleh dan layak memerintah. Dalam konteks Sept 16 usaha ini telah pun dilakukan dengan pendekatan cross- over yang tidak menjadi malah apa yang berlaku ialah BN melakukan taktik itu apabila yang cross-over bukan dari BN ke Pakatan tetapi sebaliknya! dan BN telah lakukannya di Perak.
Apapun jalan ke Putrajaya boleh berlaku dengan pendekatan cross-over apabila Pakatan tidak cukup kerusi untuk memerintah melalui kemenangan biasa dalam pilihanraya. Selalunya keadaan ini berlaku apabila penguasaan pembangkang melebihi 2/3 majoriti dan hanya memerlukan beberapa kerusi sahaja lagi untuk menguasai Kerajaan Persekutuan. Walaupun pendekatan ini dimomok-momokan sebagai ‘gila kuasa’ tetapi siapa pun tidak dapat menafikan bahawa ia juga satu jalan ke Putrajaya.
Jalan ke Putrajaya jika buntu melalui taktik cross-over, boleh mengambil jalan lain. Jalan lain ialah kompromi dengan parti lawan untuk membentuk sebuah kerajaan bersama. Pada tahun 1973, PAS membentuk Kerajaan Campuran di mana Dato' Asri Muda ketika itu duduk setaraf dengan Tun Razak dalam menentukan dasar-dasar kerajaan atas ianya sebuah kerajaan campuran.
Kerajaan Campuran bukan bermakna PAS komponen Perikatan waktu itu, tetapi PAS adalah ‘partner’ dengan Perikatan sehingga akhirnya membawa kepada PAS menjadi komponen dengan pembentukan Barisan Nasional pada tahun 1974. Walaupun model ini sudah 30 tahun yang lalu, dan persepsi terhadapnya agak negatif, namun dalam kerangka jalan ke Kerajaan Persekutuan ia boleh dianggap sebagai satu pendekatan juga dan perlu diberi nafas baru dalam konteks Pakatan hari ini.
Jalan yang paling selamat ke Putrajaya ialah menang bersih PRU dengan Pakatan mempunyai kerusi yang selesa untuk menguasai Parlimen. Selesa dengan makna penguasaan 2/3 majoriti dan ketika itu Pakatan lebih mudah menentukan dasar-dasar dan ideologi yang diperjuangkan selama ini dan rakyat akan menikmati hasilnya dengan lebih cepat.
Namun jalan selamat dan terbaik ini penuh dengan berbagai cabaran. Kalau taktik cross over dan kompromi dengan lawan dianggap jalan pintas, jalan menang bersih PRU pula dianggap jalan jauh yang memerlukan bekalan yang cukup. Saya yakin mimpi soleh yang dimaksudkan itu adalah jalan ini dimana Pakatan dituntut untuk menggandakan persediaannya untuk mengadap PRU 13. Khusus bagi PAS, persediaan parti melalui gerakkerja pilihanraya dan pemerkasaan organisasi parti menjadi tonggak kepada membina kekuatan ke Putrajaya. Namun jalan jauh ini tidak mudah dilalui kerana PAS terpaksa menanggung beban-beban kelemahan dalaman, dan persepsi orang ramai terhadap strategi tahaluf siyasinya dengan DAP dan PKR.
Kelemahan dalaman yang dimaksudkan ialah persediaan organisasi parti untuk bermain dalam aturcara permainan demokrasi berpilihanraya (walupun tempang). Antaranya ialah daftar pemilih,pengukuhan jentera akar umbi dari UPU, MTD dan Kawasan, Persediaan Kewangan, Program akarumbi, penyediaan sumber manusia,kemahiran berpilihanraya dll isu. Walaupun ILPAS (Institut Latihan Piliharaya PAS) adalah hasrat dan cita-cita murni untuk menggarap persolan di atas, ia masih di peringkat awal dan oleh kerana itu seluruh anggota PAS yang terlibat semestinya menjayakan ILPAS dengan sebaik mungkin untuk PAS melonjakkan permainan pilihanraya ini. Hasrat Presiden parti meletakkan kejayaan ILPAS ini tidak boleh dipandang ringan oleh aktivis pilihanaraya parti kerana itu jalan yang paling selamat ke Putrajaya.
Persepsi awam kepada pakatan politik PAS, PKR dan DAP masih lagi diselubungi berbagai tanggapan negatif, khusus bagi orang Melayu, PAS belum lagi dilihat menjadi alternatif kepada UMNO kerana bebanan bersama DAP dan PKR. Bagi DAP orang Melayu masih sukar membuang persepsi ‘kecinaannya’ manakala PKR dilihat sebagai versi UMNO yang kecewa dan hanya wujud kerana faktor Anwar, diburukkan lagi dengan lompat melompat yang berlaku telah mengurangkan kepercayaan orang ramai kepada calon-calon PKR.
Mereka adalah rakan PAS dan orang Melayu terus dihantui dengan stigma ‘Umno sahaja yang boleh bawa Melayu’. Apakah PAS telah menyediakan strategi yang padu berhadapan dengan dengan dua cabaran dalaman dan luaran ini? Jika pilihan strategik PAS mahu terus kekal dalam Pakatan, PAS perlu mengambil cabaran ini untuk ke Putrajaya. DAP mungkin lebih selesa dengan sokongan pengundi Cina terhadapnya, PKR mengalami krisis memulihkan imejnya. Apapun terjadi DAP mungkin terus menguasai pengundi Cina walaupun prestasi beberapa wakil rakyatnya akan dipertikaikan, PAS pula berhempas pulas meyakinkan pengundi Melayu terhadap persepsi negatif yang tertanam, Anwar akan terus diserang dan diasak.
Ketiga suasana inilah yang akan membentuk strategi PRU ke 13 nanti dan tanpa disedari Jalan ke Putrajaya walaupun mimpinya soleh tetapi realitinya adalah jalan yang penuh dengan cabaran. Mampukah strategi Pakatan terbentuk dalam satu keseimbangan dan kesepaduan bagi berhadapan dengan BN yang secara praktikalnya sudahpun lemah. Apa yang dikhuatiri ialah kecelaruan strategi Pakatan hanya akan memenangkan kelemahan BN hari ini. PAS perlu bijak jika ia ingin terus melonjak ke hadapan dalam mimpi-mimpinya ke Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan