"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin lawan konsep 1Malaysia

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 14 Julai:
"Muhyiddin telah mengesahkan bahawa beliaulah yang melawan konsep 1Malaysia, secara terbuka menyatakan bahawa beliau adalah 1Melayu dan kedua Malaysia," kata Lim Kit Siang.

Justeru, katanya semua menteri harus menyatakan pendirian sama ada menyokong Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam isu cadangan pertubuhan bagi setiap kaum yang menyerupai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Penasihat DAP itu melahirkan rasa terkejut dengan pandangan Muhyiddin itu yang dilihat cuba mewujudkan api perkauman di antara kaum.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur sebaliknya bersetuju dengan Nazri yang menolak keras cadangan itu.

"Saya bersetuju dengan Datuk Nazri yang menganggap cadangan itu sebagai 'mengarut' kerana ianya hanya akan menimbulkan ketegangan di antara Melayu dan Cina," katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Anthony Loke Siew Fook.

Muhyiddin menyokong cadangan itu dan berpandangan bahawa tiada masalah jika setiap kaum ingin menubuhkan pertubuhan masing-masing, sama seperti Perkasa yang dinaungi kaum Melayu.

Namun, nada yang berbeza pula disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang menyifatkan cadangan itu sebagai 'mengarut'.

Kit Siang juga berkata, kenyataan Muhyiddin itu langsung tidak selaras dengan konsep 1Malaysia yang diwar-warkan Najib, sebaliknya menggambarkan bahawa beliaulah penentang konsep 1Malaysia.

"Muhyiddin telah mengesahkan bahawa beliaulah yang melawan konsep 1Malaysia, seperti sebelum ini secara terbuka menyatakan bahawa beliau adalah 1Melayu dan kedua Malaysia," katanya lagi.

Ujarnya, kerajaan dilihat keliru dan sering mempunyai percanggahan pendapat berhubung isu melibatkan kaum.

Tiada ulasan: