"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS sudah tolak berunding dengan Umno

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Sukacita saya merujuk kepada laporan beberapa akhbar hari ini (14 Julai 2010), khususnya menyentuh permasalahan hubungan PAS dengan Umno.

Sukacita dinyatakan, isu berunding antara PAS–Umno sudah selesai. PAS sudah menolak untuk berunding dengan Umno. Sekarang PAS sudah menerima kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Kalau Umno ingin sangat menjaga perjuangan orang Melayu, lebih baik Umno menukar dasarnya kepada Islam. Kerana Islam yang menyelamatkan manusia dan KITA HARUS INGAT penghujung hidup manusia adalah Akhirat. Sebab itu, Islam mengajar hidup manusia mesti berpandukan ad-Din, iaitu cara hidup berpandukan agama. Hanya agama diambil kira di Akhirat.

Atas maksud untuk memenuhi tuntutan hidup beragama, maka setiap kali umat Islam sembahyang, hendaklah membaca al-Fatihah yang di dalamnya mengandungi perkataan “maliki yaumiddin” yang bermaksud hari agama, hari berlakunya pembalasan mengikut neraca agama. Sementara agama itu pula terkandung di dalam 30 juzuk al-Quran. Oleh sebab itu, Islam mengajar kita supaya menerima pakai semua ayat al-Quran sebagai panduan hidup. Kita tidak boleh pilih untuk pakai ayat-ayat tertentu, sementara ayat-ayat tertentu pula kita tolak.

Atas prinsip agama begini, maka PAS selama 20 tahun mentadbir Kelantan adalah hasil daripada sokongan semua bangsa dan agama dan merekalah yang mengundi PAS atas nama Islam. Kalau tidak masakan PAS dapat menang besar tahun 1990 dan 2008 lalu.

Apa yang berlaku di Kelantan adalah sebagai bukti bahawa dasar Islam diterima oleh majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, termasuklah orang Umno turut menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS.

Pada saya, kalau Umno tukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, maka Umno boleh bersama PAS dalam Pakatan Rakyat. Bila Umno boleh bersama PAS atas dasar Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh.

Sekaranglah masanya untuk Umno menukar dasar Melayunya itu. Jangan terikut-ikut dengan puak Yahudi. Kerana pengasas perjuangan bangsa itu adalah puak Yahudi. Ia disambung pula oleh puak Arab. Sedangkan perjuangan atas dasar kaum atau bangsa tidak diterima di sisi Nabi Muhammad SAW. Sedangkan di akhirat kelak kita akan masuk syurga. Untuk masuk syurga mestilah dengan syafaat Nabi. Macam mana untuk mendapat syafaat Nabi sekiranya kita berjuang tidak mengikut seruan Nabi.

Wallahu’alam.

YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.

Tiada ulasan: