"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pilihan Raya Pilih Ketua Kampung, Wanita Boleh Bertanding

Kerajaan Selangor sedang mengkaji kemungkinan mengadakan pilihan raya bagi memilih ketua kampung bagi menggantikan sistem lantikan yang digunakan ketika ini.

Yaakop Sapari (PKR-Kota Anggerik) berkata pilihan raya itu dilihat sebagai salah satu mekanisme yang boleh digunakan oleh kerajaan negeri untuk mewujudkan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat di Selangor.

"Cadangan itu masih di peringkat kajian, ia akan membolehkan rakyat di peringkat kampung memilih sendiri ketua kampung mereka berdasarkan kemampuan dan kebolehan yang dimiliki oleh calon-calon yang bertanding untuk jawatan itu," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Dr Abd Rani Osman (PAS-Meru) berhubung penilaian ketua kampung di Selangor dan pendekatan yang diguna pakai untuk memantau prestasi mereka.

Menurut Yaakop ketua kampung ketika ini diberi enam bulan sebagai tempoh percubaan untuk membuktikan kemampuan sebagai pemimpin kawasan.

"Kerajaan negeri juga akan meminta laporan dari Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) tentang prestasi ketua kampung di kawasan masing-masing," katanya.

Ketika menjawab soalan tambahan daripada Haniza Talha (PKR-Taman Medan) mengenai peluang wanita bertanding untuk jawatan ketua kampung, Yaakop berkata pilihan raya itu terbuka kepada sesiapa sahaja yang layak, termasuk wanita.

"Wanita pun boleh bertanding, diharapkan pilihan raya untuk memilih ketua kampung boleh ini dijalankan," kata beliau yang juga Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan usahawan negeri.
-Bernama-

Tiada ulasan: