"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua Menteri Diarah Kabinet, Soal Peguam Negara Gani Patail


KUALA LUMPUR, 24 NOV: Dua menteri Kabinet diarahkan untuk menyoal Peguam Negara Tan Sri Gani Patail sebaik sahaja beliau pulang dari Makkah bersabit kes mata lebam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lapor portal The Malaysian Insider.

Menurut laporan itu, Kabinet memutuskan berbuat demikian selepas seorang bekas anggota polis Datuk Mat Zain Ibrahim, dalam surat terbukanya mendakwa penglibatan Gani dalam insiden tersebut.

“Sekarang saya telah diarahkan (oleh Kabinet), Datuk Rais Yatim dan saya sendiri agar bercakap dengan Peguam Negara. Kami menunggu beliau pulang dari Makkah,” Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz dilaporkan sebagai berkata.

Kabinet kata Nazri mahu mendengar sendiri dari mulut Gani berhubung dakwaan penglibatannya dalam insiden yang mengemparkan kira-kira 12 tahun lalu.

“Kami mahu mendengar daripada Peguam Negara sendiri (mengenai surat terbuka).

“Ini perkara yang serius. Jika beliau (Mat Zain) bercakap benar, kita kena mendapatkan maklumat lanjut... tetapi sehingga itu, tiada apa-apa keputusan,” kata Nazri.

Pada Julai 2008, Anwar membuat laporan polis mendakwa Gani, Mat Zain, Musa(Tan Musa Hassan) yang ketika itu pegawai penyiasat dan Dr Abdul Rahman telah memalsukan satu laporan perubatan mengenai kejadian mata lebam itu.

Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Nor pula telah mengaku kepada suruhanjaya diraja siasatan bahawa beliau memukul Anwar ketika ditahan di Bukit Aman selepas Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno.

Mat Zain melalui surat terbuka yang dihantar kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar kelmarin merujuk kepada usul pemotongan RM10 dari gaji Peguam Negara seperti yang diusul oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang.

Zain mengakui pada 14 April lalu telah menghantar e-mel kepada Kit Siang.

“Sebagai membalas komen beliau terhadap PDRM berkaitan siasatan kes mata lebam, yang sedikit tersasar. Saya turut megesahkan bahawa kenyataan-kenyataan yang beliau petik daripada surat saya bertarikh 15 April 2009 kepada Lembaga Penasihat SPRM dan surat terbuka kepada YBhg Datin Kalsom Taib bertarikh 8 Oktober 2010 (surat terbuka pertama), yang salinannya saya e-mel kepada Tan Sri, adalah betul setakat yang terkandung dalam salinan-salinan asal surat-surat berkenaan.

“Saya akan merujuk kepada kandungan surat-surat tersebut apabila, atau jika berkenaan,” kata Mat Zain.

Berikutan isu berkenaan dibangkitkan oleh Kit Siang pada 9 November lalu di parlimen, Nazri memaklumkan akan membawa hal tersebut ke pengetahuan Kabinet pada 12 November lalu.

Beliau turut mengumumkan penjelasan akan diminta daripada Gani berhubung hal itu.

“Saya menyokong sepenuhnya Tan Sri Gani diberikan hak sedemikian oleh kerana hak kesamarataan dari sudut undang-undang dan hak pendengaran yang adil adalah merupakan hak asasi individu yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia dan wajar dihormati oleh semua pihak.

“Bagaimanapun apa yang menjadi kemusykilan saya kini ialah apabila penjelasan diberi oleh Tan Sri Gani, seorang Peguam Negara, dalam bentuk apa sekalipun, sama ada secara lisan atau kenyataan akhbar atau representasi dan lain-lainnya, pihak berkuasa manakah yang layak dan berhak serta mempunyai kuasa untuk memberikan pendengaran adil kepada semua pihak terlibat dalam persoalan ini.

“Dan, tidak hanya adil kepada Tan Sri Gani seorang sahaja. Sesuai untuk saya nyatakan di sini bahawa pihak-pihak yang terlibat, bukan setakat empat individu yang dinamakan dalam laporan Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Tan Sri Gani, Tan Sri Musa Hassan (bekas Ketua Polis Negara), Dr Abdul Rahman Yusof dan saya sendiri,” lapor portal itu lagi.
-tvsnews-

Tiada ulasan: