"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 beradik peragut ditahan 'bertapa' atas bumbung

SEREMBAN: Cubaan dua beradik menyembunyikan diri di tangki air bumbung rumah jiran mereka di Taman Bukit Kepayang, di sini, selepas meragut seorang mangsa bukan saja tidak membuahkan hasil kerana dicekup, malah terpaksa ‘bertapa’ lebih sejam sebelum diturunkan anggota bomba, awal pagi semalam.

Difahamkan, kedua-dua lelaki berusia 20-an terbabit sebelum itu melakukan kegiatan ragut dengan alasan untuk memungut hutang daripada mangsa di sebuah rumah di Jalan Tan Sri Manickavasagam, di sini, kira-kira jam 6.15 petang kelmarin.

Pasangan adik-beradik itu kemudian meloloskan diri dengan menaiki sebuah kereta Ford Laser dan melarikan beg pinggang mangsa yang berisi sejumlah wang. Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata berdasarkan hasil pemeriksaan dan siasatan, pihaknya mengesan rumah suspek di taman perumahan itu yang turut berdekatan Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) negeri, di sini.

“Berikutan itu, sepasukan anggota polis ke rumah suspek untuk memberkas kedua-dua mereka bagi membantu siasatan kira-kira jam 2 pagi (semalam).

“Namun, apabila ditanya, ahli keluarga suspek enggan memberikan bekerjasama dengan memaklumkan dua beradik terbabit tiada di dalam rumah dua tingkat itu.

“Tidak lama kemudian, beberapa anggota polis yang melakukan pemantauan di luar melihat kelibat manusia berada di atas bumbung rumah itu,” katanya.

Menurut Saiful, pihaknya memanjat bumbung dan menahan suspek yang bersembunyi di sebuah tangki air di kawasan terbabit dengan hanya berseluar tanpa berbaju.

“Kami (polis) menghubungi bomba untuk bantuan sebelum kedua-dua suspek dibawa turun melalui tangga elektrik lebih sejam kemudian.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan pihaknya mengambil masa hampir tiga jam untuk memberkas suspek terbabit.

Tinjauan Harian Metro mendapati usaha membawa turun suspek dilakukan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dan Senawang termasuk menggunakan sebuah jentera sky lift.
-hmetro-

Tiada ulasan: