"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

OKT mati: Suaram kecewa kualiti PDRM

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengutuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kematian seorang pemuda, S Kalaiselven, 21, di Hospital Sultan Ismail selepas suspek ditangkap di bawah Ordinan Darurat pada September 2010.

Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung berkata, S Kalaiselvan telah ditahan bawah Ordinan Darurat kerana disyaki terlibat dalam kes jenayah.

Katanya, pihak polis daerah Kota Tinggi telah mendapat perintah reman beberapa kali dan menahannya sehingga suspek ditahan bawah Ordinan Darurat.

Suaram juga, katanya mengecam tindakan pihak polis bertugas yang telah gagal menjalankan tanggungjawab mereka untuk memastikan Orang Kena Tahan (OKT) adalah dalam keadaan yang sihat dan baik seperti yang dinyatakan dalam Akta Kaedah-Kaedah Lokap(L.N.3289/1958)(4) semasa tempoh tahanan.

“Kami juga amat meragui kualiti perkhidmatan dan rawatan yang diterima oleh suspek di hospital yang boleh menyebabkan suspek meninggal dunia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Suaram turut melahirkan kekecewaan terhadap kualiti perkhidmatan PDRM.

Menurutnya, mengikut kenyataan ahli keluarga mangsa, pihak polis tidak memaklumkan kepada mereka mengenai keadaan kesihatan OKT sebelum itu walaupun OKT pernah dihantar ke hospital beberapa kali sebelum itu.

“Kami juga membantah kewujudan undang-undang zalim seperti Ordinan Darurat yang digunakan oleh polis untuk menahan suspek.

“Kami membantah segala undang-undang tanpa perbicaraan kerana ia merupakan satu penindasan terhadap hak-hak asasi manusia,” katanya lagi.

Tamnbahnya, undang-undang sebegitu akan melahirkan rasa bimbang dan kerisauan orang awam mengenai keselamatan OKT semasa mereka di bawah tahanan Ordinan Darurat atau undang-undang zalim yang lain.

Justeru, katanya Suaram menyeru agar kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kematian S Kalaiselvan serta menubuhkan IPCMC iaitu Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang bersifat bebas serta telus dan adil.

Selain itu, tambahnya tindakan tatatertib perlu diambil segera terhadap pengawai polis yang gagal menjalankan tanggungjawab.

Selain itu, segala undang-undang tanpa perbicaraan amat perlu dimansuhkan segera demi mengelakkannya daripada disalahgunakan untuk menindas hak asasi manusia.

Tiada ulasan: