Satu lagi 'drama' berlangsung di perkarangan tempat letak kereta kompleks mahkamah Shah Alam apabila bekas sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) N Tharmendran ditangkap semula oleh lapan anggota pasukan itu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.45 pagi selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 17 Disember sebagai tarikh perbicaraan permohonan Tharmendran untuk menggugur pertuduhan bersubahat mencuri jet enjin yang dihadapinya.
Menurut peguam, N Surendran, anak guamnya itu baru keluar dari mahkamah apabila beberapa anggota tentera udara menghampiri dan menangkapnya di hadapan ayahnya, N Nagarajah.
"Saya maklumkan kepada mereka bahawa Tharmendran adalah orang awam dan tentera udara tidak ada hak untuk menangkapnya. Tetapi mengikut Provos Marshal Lt Kolonel Mohd Razif Razak, Tharmendran telah diklasifikasikan sebagai orang yang melarikan diri dari tugas sejak September," katanya.
Penahanan itu dibuat oleh lima pegawai dari Jabatanarah Provos Marshal TUDM setelah bekas sarjan itu dibebaskan dengan jaminan pada 6 September lalu.
"Ini jelas menghina mahkamah. Tangkapan ini tidak sah kerana anak guam saya adalah orang awam dan telah meninggalkan tentera. Saya akan pertanggungjawabkan ini ke atas Kementerian Pertahanan dan tentera udara,” kata Surendran.
Katanya, beliau diberitahu bahawa Tharmendran akan dibawa menjalani pemeriksaan perubataan sebelum ditahan di pusat Kem Batu Cantonment, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Pada 6 Januari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed Matra 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi dekat Kuala Lumpur pada 30 April 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Bernama melaporkan Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan, dalam satu kenyataan berkata kegagalan Tharmendran untuk hadir bertugas setelah membayar jaminan pada 6 Sept lalu sehingga ke hari ini merupakan satu kesalahan meninggalkan tugas yang bertentangan dengan peruntukan Akta Tentera 1972.
Tharmendran masih lagi berada dalam perkhidmatan TUDM, kata unit itu lagi.
Tharmendran masih lagi berada dalam perkhidmatan TUDM, kata unit itu lagi.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan