"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah kaji keperluan bubar DUN

ALOR SETAR: Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah akan membuat kajian terlebih dahulu sama ada wajar untuk mengikut jejak Kerajaan Pulau Pinang yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan tahun depan. 

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, ia bergantung kepada suasana ketika itu selain strategi masing-masing untuk memastikan kemenangan. 

“Tindakan Pulau Pinang itu mungkin ada strategi dan rasionalnya, namun bagi pihak kita, eloklah dibuat kajian dahulu. Tambahan pula Kerajaan Negeri ada hak sama ada mahu bubarkan DUN atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, penelitian perlu dibuat berdasarkan aspek strategi dan realiti yang boleh memihak kepada kejayaan parti. 

Azizan berkata, kajian juga harus merujuk kepada kelebihan pelaksanaannya sama ada memberi keburukan atau kebaikan kepada PR Kedah. 

“Sekiranya boleh menguntungkan saya, mungkin saya tangguh tetapi jika menjejaskan kekuatan saya, kita akur. Sebab itu kena lihat dahulu suasana menjelang PRU nanti. Aspek utama ialah melihat sama ada tindakan itu lebih kepada kebaikan atau keburukan,” katanya. 

Menurutnya, sekiranya pilihan raya negeri bawah pentadbiran PR dibuat berasingan dan bukan serentak dengan negeri bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN), dibimbangi BN mengambil kesempatan itu dengan ‘menghentam’ kerajaan PR. 

Bagaimana pun, katanya, Kerajaan Persekutuan tidak boleh memaksa kerajaan PR kerana keputusan untuk membubarkan DUN adalah hak negeri setelah diperkenankan Tuanku Sultan. 

“Itu strategi masing-masing dalam memastikan kemenangan. Tidak ada paksaan dan juga tertakluk pada perlembagaan,” katanya.

-sinarharian-

Tiada ulasan: