"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khalid Samad: Cuma Ubah Logo, BN Kekal Corak Lama


KUALA LUMPUR, 25 NOV: Perubahan logo Barisan Nasional (BN) hanyalah perubahan kosmetik sedangkan barisan pimpinan parti itu masih lagi mengekalkan corak kepimpinan di takuk lama.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata apa yang diinginkan rakyat sebenarnya adalah perubahan kerajaan dan bukan sekadar perubahan logo semata-mata.

"Umno-BN masih lagi mengekalkan ciri-ciri yang sama, tetap tidak ditangani dan tidak ada perubahan sebagaimana yang sepatutnya berlaku.
"Rakyat Malaysia dapat melihat  bahawa watak dan tindakan Umno-BN semasa dalam kerajaan tetap sama dan tidak ada perubahan manakala amalan-amalan seperti dahulu tetap kekal dan subur.

Kata beliau lagi, tuntutan rakyat yang sebenar akan diusaha dan diteruskan menerusi PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui Pakatan Rakyat.

"Apa yang diinginkan adalah perubahan kerajaan dan bukan sekadar perubahan logo," ujar beliau kepada Tv Selangor di lobi Parlimen, petang tadi.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata BN melakukan perubahan kosmetik pada logonya “dacing” yang digunakan sejak 1970-an — disertakan lambang konsep 1 Malaysia —  dipercayai bagi memulihkan imej perikatan 13 komponen itu selepas prestasi  pilihanraya umum 2008.

Perubahan kosmetik itu sebahagian daripada pindaan perlembagaan BN yang diluluskan Dewan Tertinggi BN, Sabtu lalu.

Adalah difahamkan, lambang “dacing” akan berwarna putih dan akan disertakan dengan lambang nombor satu yang merujuk kepada konsep 1 Malaysia.

Mengenai warna pula, ia berlatarbelakangkan warna nilakandi bersama jalur merah, kuning dan biru di sisi kiri dan kanan logo.

Difahamkan logo baru ini akan digunakan sebaik sahaja diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan - kemungkinan besar ketika pilihan raya umum tergempar yang kini disebut-sebut akan diadakan suku pertama tahun depan.

Ataupun, jika ia diluluskan sebelum pilihan raya negeri Sarawak, sumber memberitahu, ia akan digunakan oleh BN negeri itu sebelum diperluaskan ke peringkat pusat.

Semalam, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata berkata logo BN akan menyaksikan suntikan simbol '1' yang antara lain mendukung elemen gagasan 1Malaysia.

Tengku Adnan, berkata simbol dacing sebagai logo BN sejak pendaftaran rasmi parti itu pada 1 Jun 1974, bagaimanapun tetap dikekalkan.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata BN akan melakukan sedikit perubahan pada logo dan warna parti yang dijangka diumumkan pada Konvensyen parti itu nanti.
-tvsnews-

Tiada ulasan: