Bekas sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) N Tharmendran memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penahanannya semula semalam.
Menurut afidavitnya, Tharmendran berkata tahan semula oleh Provos Marshal di perkarangan kompleks mahkamah semalam adalah “tanpa alasan, salah, tidak sah dan mala fide (niat jahat)”.
Peguamnya N Surendran memfailkan permohonan supaya beliau dibebaskan segera pada jam 3.45 petang tadi. Perbicaraan ditetapkan pada 3 Disember di hadapan hakim Datuk Su Geok Yiam.
Surendran berkata beliau berjumpa dengan Tharmendran pada jam 2 petang ini di pusat tahanan tentera di Kem Batu Cantonment, Jalan Ipoh, di Kuala Lumpur.
"Dia nampaknya sihat tetapi keluarganya dan saya masih bimbang mengenai keselamatannya...Pegawai tentera yang bertanggungjawab beri jaminan berhubung keselamatannya tetapi kami masih bimbang berhubung apa yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Tharmendran mendakwa dia didera oleh anggota TUDM dan dan secara sukarela memilih untuk ditahan reman di penjara Sungai Buluh dengan membatalkan ikat jamin RM50,000 yang telah dibayarnya.
Surendran juga mempersoalkan motif TUDM yang menagkap anak guamnya itu semula atas tuduhan melarikan diri daripada tugas meskipun katanya, bukti yang mencukupi telah dibekalkan untuk menunjukkan Tharmendran bukan lagi anggota tentera.
"Mesti terdapat motif yang tersembunyi,” katanya.
Menurut Tharmendran, slip gaji terakhirnya dari TUDM bertarikh 28 Mei tahun ini. Memandangkan kontraknya tidak diperbaharui, dia berhujah bahawa dia tidak boleh dibicarakan di mahkamah tentera.
Pada 6 Januari lalu, dia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed Matra 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi dekat Kuala Lumpur pada 30 April 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan