Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Imail berkata konsep “Ketuanan Melayu” wajib ditinggalkan kerana ia didakwa hanya slogan untuk memperdayakan bangsa itu sendiri.
"Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri.
"Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden dalam Kongres PKR pagi ini.
Menurutnya, sebagai seorang Melayu yang beragama Islam, beliau berkeyakinan bahawa tidak akan ada satu bangsa pun yang akan menjadi agung dan dihormati hanya dengan menggelar diri sendiri sebagai “tuan”.
"Kitab al-Quran banyak mengisahkan bagaimana Tuhan telah menghancurkan kaum dan bangsa-bangsa yang bermegah-megah konon menjadi 'tuan' dan memandang rendah kepada bangsa atau kaum yang lain.
"Sesungguhnya, semulia-mulia di sisi Tuhan adalah mereka yang paling tinggi taqwanya (amalan baik dan kebajikannya kepada insan lain)," katanya.
"Nyatalah bahawa sesuatu bangsa dan kaum itu hanya akan menjadi agung dan dipandang tinggi apabila mereka bermaruah. Lalu, andai sesuatu bangsa itu mahu besar, mereka harus memelihara dan menjaga maruah mereka termasuk kepada orang Melayu."
Tegasnya dalam tradisi orang Melayu, mereka amat menyedari kepentingan menjaga maruah diri supaya dipandang tinggi oleh orang lain.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan