"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno bimbang kurang dapat sokongan selebriti?

Siasahdaily
Walaupun kurang dibincangkan secara mendalam, selebriti merupakan golongan yang mahu dilibatkan dan dilihat sebagai penyokong oleh pemain-pemain politik.

Dalam permainan simbol yang penting dalam dunia politik, populariti mendapat penilaian sangat penting, dan ini menjadikan tokoh-tokoh dalam dunia budaya popular dan lapangan seni lain penting kepada pemain politik.


Seperti juga endorsement produk melalui iklan, sokongan yang ditunjukkan oleh selebriti atau seniman terhadap kumpulan politik tertentu juga memberi kesan sama.

Budaya popular ialah ruang paling mudah untuk menyampaikan sebarang mesej yang mudah dan ringkas, berbanding ucapan politikus, ceramah agamawan dan pelbagai cara lain.

Budaya popular lebih mudah didekati tanpa sebarang rasa negatif oleh pelbagai golongan, disebabkan sebahagian besarnya merit popularitinya. Selebriti pula memiliki lebih kuasa memujuk berbanding ramai ahli politik.
Selebriti, penggiat budaya popular dan seniman hanya perlu meminjamkan populariti kepada parti-parti politik untuk meraih sokongan, ada kalanya tanpa perlu sebarang penjelasan berhubung dasar-dasar parti terbabit.

Dalam dunia politik tanah air, interaksi politik dengan budaya popular menjadi semakin hangat sejak kebelakangan ini, dan menjadi satu isu yang ditangani dengan serius oleh parti-parti politik.

Pada awal kemunculan Mawi, PKR dan kemudian PAS segera mendekatkan diri dengan anak muda itu, dan mendapat respons segera Umno yang kemudian bergegas menariknya melalui beberapa program. Sebelum itu, penyanyi terkenal Siti Nurhaliza cuba dilibatkan dalam Puteri Umno.

Terbaru, penyertaan Bob Lokman bersama PAS mencetuskan reaksi kurang senang pihak dalam parti pemerintah.

Suasana yang semakin demokratik kini membolehkan penggiat seni budaya menunjukkan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik tanpa takut kepada sekatan seperti satu masa dahulu, walaupun tidak dinafikan masih wujud cabaran ini.


Malah, dalam aliran seni tertentu, seperti sesetengah muzik yang bukan arus perdana, ciri anti-establishment menjadi ciri penting, walaupun tidak semestinya bermakna sokongan untuk parti-parti pembangkang.

Pada masa sama, sokongan yang ditunjukkan Sasterawan Negara A Samad Said kepada pembangkang sejak beberapa tahun lalu juga memberi tamparan kepada Umno.

Sebelum ini, Sasterawan Negara Shahnon Ahmad mengejutkan dunia seni dan politik tanah air dengan kemunculan novel satira politik Shit.

Tentangan oleh sasterawan, yang melibatkan bukan sahaja hal politik tetapi juga isu bahasa Melayu mendatangkan isu yang sukar dijawab oleh Umno.
 

http://siasahdaily.blogspot.com/

Tiada ulasan: