KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Susulan tindakan polis menangkap lebih 100 orang penyokong Bersih 2.0 dan kecaman media arus perdana terhadap gerakan itu diperhebatkan, kini institusi masjid pula diheret dalam cubaan membatalkan perhimpunan aman berkenaan.
Masjid-masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini diwajibkan membaca Khutbah Jumaat yang menuduh penganjur Bersih sebagai “pengkhianat” dan mendakwa peserta himpunan itu “akan bertindak ganas, merosakkan harta benda…malah sanggup mencederakan pasukan keselamatan.”
Khutbah bertajuk “Memelihara Nikmat Keamaman” yang diedarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan mendakwa peserta Bersih pada 9 Julai akan “melakukan demonstrasi jalanan, perhimpunan haram, dan berarak ke hulu hilir serta melanggar undang-undang negara”.
Tuduhan yang dibuat menerusi khutbah Jumaat itu mengejutkan lebih-lebih lagi setelah penganjurnya dan pemimpin-pemimpin politik yang menyertai Bersih memberi jaminan berulang kali bahawa perhimpunan itu adalah aman dan berharap polis tidak akan mencetuskan sebarang provokasi.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berulang kali menegaskan perhimpunan itu hanya untuk rakyaty menzahirkan secara aman keperluan di adakan pilihanraya umum yang telus dan adil.
Namun jaminan itu tidak diendahkan oleh JAWI sebagaimana yang dicerminkan menerusi khutbah Jumaat yang dibaca di masjid-masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini.
“Mutakhir ini kita dibimbangi oleh gerakan golongan pelampau yang menggelarkan diri mereka sebagai Gabungan Pilihan Bersih dan Adil, khutbah itu dipetik berkata.
“Golongan ini pada asasnya memperjuangkan kepentingan individu atau fahaman tertentu tanpa mengambil kira sensitiviti dan kepentingan awam, tambah teks khutbah itu.
“Dalam usaha mencapai matlamat perjuangan, golongan ini akan melakukan demonstrasi jalanan, perhimpunan haram, mereka berarak ke hulu hilir, berkumpul untuk bertindak ganas, merosakkan harta awam, melanggar undang-undang negara malah sanggup mencederakan pasukan keselamatan,” katanya.
Khutbah itu mendakwa Himpunan Bersih 2.0 berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia dan politik untuk “meniru” keganasan di negara asing demi menekan pemerintah .
“Mimbar ingin menegaskan bahawa tindakan golongan pengkhianat seperti ini merupakan satu tindakan yang zalim dan haram bagi umat Islam mengikutinya kerana cara ini sebenarnya satu tindakan yang boleh mencampakkan manusia itu di dalam kebinasaan serta mendatangkan keburukan, kegelisahan dan kesusahan kepada masyarakat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan