"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat hidup susah, Najib hidup mewah

PETALING JAYA: Ketika rakyat ditimpa kesempitan hidup akibat kenaikan harga barangan, negara dikejutkan dengan berita sebanyak RM17 juta telah dibelanjakan untuk lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Wang rakyat berjumlah RM17 juta ini digunakan dalam tempoh tiga tahun, dari tahun 2008 hingga Jun 2011,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku Lau Weng San dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, perkara ini dimaklumkan oleh Jabatan Perdana Menteri semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat semalam.

“Ini menunjukkan bahawa cogan kata “1Malaysia” yang dilaung-laungkan oleh Najib dan Barisan Nasional (BN) hanya cogan kata yang tidak bermakna kerana kesusahan rakyat tidak ditanggung bersama, malahan wang rakyat pula digunakan oleh golongan pemerintah untuk keselesaan hidup mereka,” katanya.

Ujar beliau, “kerajaan berkali-kali mengingatkan rakyat bahawa subsidi bahan-bahan makanan dan bahan api perlu dikurangkan kerana kerajaan menghadapi defisit kewangan yang runcing.

“Walaupun begitu, rakyat tidak faham mengapa kerajaan BN begitu beria-ia hendak mengurangkan subsidi sedangkan para pemimpin tertinggi BN menggunakan wang rakyat untuk melancong ke luar negara,” tambahnya.

Lau menerangkan wang sebanyak RM17 juta ini boleh digunakan untuk mempertingkatkan taraf kehidupan rakyat, misalnya membina sekurang-kurangnya empat buah hospital besar, enam buah sekolah dan malahan boleh digunakan untuk menanggung sebahagian daripada subsidi bahan api,” jelas beliau.

Kerajaan pusat katanya, mesti memberi penjelasan kepada seluruh rakyat bagaimana wang sebanyak RM17 juta ini dibelanjakan oleh Najib dan isterinya.
Rakyat juga berhak bertanya adakah ini perbelanjaan bersih setiap kali Perdana Menteri dan isterinya melawat ke luar negara ataupun perbelanjaan pegawai-pegawai kerajaan yang lain pun belum lagi diambilkira.

Apa hasil lawatan?
Beliau berkata, rakyat juga ingin tahu apakah hasil lawatan dan pulangan yang mampu dibawa balik oleh PM dalam setiap lawatan.

Adakah pulangan dan hasil-hasil lawatan ini setimpal dan berbaloi dengan wang yang dibelanjakan dalam setiap lawatan?

Adakah kos lawatan rasmi PM dan isterinya seperti lawatan kedua-duanya ke majlis konvokesyen dan majlis perkahwinan anak-anak mereka turut menggunakan wang rakyat?,” soal beliau.

Tegasnya, “pada ketika pemimpin-pemimpin BN hidup dalam keadaan serba mewah, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) pula hidup dalam keadaan sederhana.”

Beliau mengambil contoh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng masih menaiki kapal terbang tambang murah seperti Air Asia atau FireFly dalam menjalankan urusan rasminya untuk menjimatkan wang rakyat.

“Ini menunjukkan perbezaan yang begitu ketara antara BN yang hanya pandai bermain-main dengan cogan kata “1Malaysia” dengan PR yang bekerja keras, bersih dan jujur dalam pentadbirannya,” ujar Lau./FMT

Tiada ulasan: