"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bob beri keterangan, akan didakwa 14 Feb

Abdul Rahim Sabri
 Nov 9, 2011
NONE
Pelakon terkenal Bob Lokman hari ini memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat Selangor pada 10 Oktober lalu.

Beliau memberi keterangan selepas seorang pegawai JAIS datang menemuinya di suatu tempat yang tidak mahu didedahkannya.

Ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang ini, Bob yang juga seorang pengacara dan penulis lirik terkenal, berkata beliau memberi keterangan selama sejam bermula pukul 10 pagi tadi tanpa ditemani peguam.

"Saya memberitahu mengenai peristiwa sebenar yang berlaku pada hari tersebut dan menyatakan sebab saya tidak datang ke JAIS (sebelum ini untuk memberi keterangan)," katanya .

Menurut penulis lirik lagu 'Isabella' itu berkata pegawai berkenaan tidak menunjukkan waran tangkap kepadanya.

"Saya akan dibicarakan... Saya memberi kerjasama baik (sewaktu memberi keterangan tadi)," katanya sambil menambah perbicaraan akan berlangsung pada 14 Februari depan.

Sebelum ini dilaporkan jabatan berkenaan telah mendapat waran tangkap terhadap penulis lirik 'Isabella' itu.

Ini kerana, beliau enggan menghadirkan diri selepas diarahkan oleh jabatan berkenaan memberi keterangan berhubung perkara tersebut.

Bob yang nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, 47, disiasat mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Islam (Negeri Selangor) 2003, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Beliau boleh dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor jika gagal memberi keterangan dengan sengaja dan tertuduh boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: