"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pendedahan lengkap penyelewengan Projek Fidlot @ Feed The Lord

AnakSgDerhaka
Merujuk kepada dua kenyataan di Dewan Rakyat oleh Barisan Nasional berhubung skandal penyelewengan peruntukan projek pertanian melibatkan Projek Fidlot Kebangsaan.

Kenyataan pertama dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di lobi Dewan Rakyat pada 31 Oktober 2011 bahawa “pinjaman berjumlah RM250 juta kepada NFC belum disalurkan sepenuhnya”.

Kenyataan kedua dibuat oleh Perdana Menteri pada 1 November 2011 dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat yang menyebut bahawa setakat 31 Julai 2011, hanya RM181.9 juta daripada geran dan pinjaman berjumlah RM250 juta telah disalurkan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

Kedua-dua kenyataan ini adalah tidak benar dan menyelewengkan transaksi sebenar yang melibatkan Kerajaan Malaysia (melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) dan NFC yang dimiliki dan diuruskan oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

KEADILAN telah menjalankan kajian lanjut ke atas rekod NFC dan syarikat-syarikat berkaitan (associate companies) dan mendapati perkara-perkara berikut:

1) KESELURUHAN RM250 JUTA PINJAMAN TELAH DISALURKAN KEPADA NFC

~Keseluruhan RM250 juta pinjaman yang menggunakan wang rakyat sebenarnya telah disalurkan sepenuhnya ke dalam akaun NFC menjelang 31 Mac 2009.

~Rekod kewangan NFC menunjukkan pinjaman pertama (first loan drawdown) sejumlah RM130 juta telah diambil dalam tahun 2008.

~Pada 31 Mac 2009, NFC membuat drawdown kedua berjumlah RM120 juta yang dimasukkan terus ke akaun Maybank milik NFC.

~Pada 6 Mei 2009, NFC memindahkan wang dari pinjaman ini berjumlah RM116 juta ke dalam akaun deposit tetap milik NFC di Public Bank Berhad.

~Penyata kewangan NFC yang difailkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan badan-badan lain menunjukkan NFC mendapat keuntungan faedah dari simpanan deposit tetap berjumlah RM666,952.96 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009 (penyata kewangan terkini yang diaudit dan difailkan).

~Jumlah keuntungan faedah dari simpanan deposit sebesar ini hanyalah mungkin sekiranya NFC mempunyai simpanan tetap ratusan juta ringgit.

~Malah, keuntungan faedah dari simpanan deposit berjumlah RM666,952.66 bersamaan 23% daripada perolehan hasil penjualan lembu, seolah-olah NFC adalah sebuat syarikat pelaburan kewangan dan bukannya operator ladang ternakan lembu.

~Status pinjaman RM250 juta yang telah diberikan sepenuhnya kepada NFC ini disahkan oleh carian rasmi di SSM (sila lihat Lampiran 1) yang menunjukkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009, Hutang Jangka Panjang (Non-current liabilities) NFC berjumlah RM256,082,518 yang terdiri dari:

PINJAMAN DARI KERAJAAN RM 250,000,000

GERAN KERAJAAN RM6,082,518

~Pendedahan ini membuktikan bahawa Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah berbohong kepada Dewan Rakyat dan seluruh negara dalam usaha mereka melindungi Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan keluarga beliau.



2) KERUGIAN BESAR NFC MENYEBABKAN PINJAMAN RM250 JUTA AKAN DILUPUSKAN OLEH KERAJAAN


~Analisa kepada rekod kewangan NFC bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009 menunjukkan bahawa operasi ternakan lembu yang diusahakan mengalami kerugian besar dan tidak mungkin berupaya membayar kembali pinjaman RM250 juta yang diberikan Kerajaan Pusat.

~Bagi tahun 2009, kos purata mengimport, menternak dan menyembelih seekor lembu di NFC berjumlah RM4,481 seekor. Kos ini adalah terlalu mahal dan tidak mampu bersaing di pasaran.

~Malah, NFC turut memberikan diskaun berjumlah RM2,964,555 kepada Real Food Company Sdn Bhd (RFC) yang mengendalikan restoran mewah Meatworks milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, atas alasan untuk mengurangkan harga jualan memandangkan kos yang terlalu tinggi.

~Tindakan ini bertentangan dengan prinsip tata kelola yang baik apabila NFC yang dibiayai wang rakyat memberi subsidi kepada restoran mewah yang dimiliki oleh keluarga seorang menteri.

~Bagi tahun-tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, NFC mengalami kerugian sebanyak RM7 juta (2008) dan RM11 juta (2009).

~Kos operasi yang tinggi bermakna besar kemungkinan NFC akan terus rugi bagi tahun-tahun yang akan datang, apatah lagi apabila sasaran ternakan dan sembelihan tersasar jauh.

~Jika ini berterusan, Kerajaan Pusat tidak ada pilihan lain kecualilah melupuskan pinjaman RM250 juta yang telah diberikan kepada NFC seperti mana amalan sebelum ini yang membabitkan Perwaja dan syarikat-syarikat berkepentingan lain.

~KEADILAN berpendapat jumlah RM250 juta yang telah disalurkan kepada NFC bolehlah dikira hangus memandangkan prestasi kewangan NFC yang buruk.

3) DANA DARI NFC DIPINDAHKAN KE SYARIKAT-SYARIKAT MILIK KELUARGA DATO’ SERI SHAHRIZAT JALIL

~Penyata kewangan NFC bagi tahun berakhir 31 Disember 2009 menunjukkan berlaku pelbagai transaksi kewangan yang membabitkan pemindahan dana kepada syarikat-syarikat milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

~Terdapat dua syarikat bersekutu (associate companies) yang dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan mendapat manfaat terus daripada dana yang disalurkan kepada NFC, iaitu:

National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd

~Saham-saham dimiliki oleh Dato’ Dr Mohamad Salleh Ismail (249,999 saham), Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh (250,000 saham) dan Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh (1 saham) – sila rujuk Lampiran B.



~Bertindak sebagai syarikat pemasaran daging-daging sembelihan NFC seperti promosi di laman web www.gemasgold.com.my

~Penyata kewangan terakhir yang difailkan ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia adalah bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007.

Real Food Company Sdn Bhd
~Saham-saham dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil sama ada melalui pegangan terus: Dato’ Dr Mohamad Salleh Ismail (500,000 saham), Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh (500,000 saham) dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh (500,000 saham) atau melalui syarikat yang dikuasai mereka iaitu Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd (1,500,000 saham) dan National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd (2,000,000) – sila rujuk Lampiran C.

Sila sambung bacaan anda di SINI 

Tiada ulasan: