"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pensyarah akui tanpa Utusan Umno sudah tiada

Aslani M

KOTA BHARU, 9 Dis: Seorang pensyarah Sains Politik UKM mengakui tanpa media tradisi seperti Utusan Malaysia dan saluran televisyen milik kerajaan, Umno sudah lama kehilangan kuasa.


Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat berasal dari Tanah Merah yang dilihat lebih cenderong berhujah menyokong Umno dan kerajaan pusat mengakui kuasa dimiliki Umno sekarang kerana ada bantuan media arus perdana.

Katanya, hujah yang dilontar seorang penonton tadi sememangnya benar dan tidak dapat dinafikan lagi.

”Tanpa Utusan, RTM dan media lain lagi Umno sudah lama tiada,” katanya ketika menjawab soalan seorang penonton pada Wacana Perdana siri ke-8 anjuran kerajaan negeri di Balai Islam malam tadi.

Panelis lain Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari UM.

Manakala Datuk Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusoff bertindak sebagai moderator. Kehangatan dirasakan sepanjang wacana tersebut berlangsung.

Dr Samsul juga meluahkan rasa bimbang dengan ledakan maklumat melalui media internet sekarang yang menjadi kegilaan golongan muda.

Hematnya internet menjadi kuasa yang mendorong anak muda berpihak kepada Pakatan Rakyat.
”Namun berdasar kepada satu kajian yang dijalankan di Kubang Pasu mendapati 60 hingga 70 peratus penduduk masih lagi bergantung kepada media konvensional.

”Ini memberi insentif kepada BN untuk menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi. Bagaimanapun apabila akses internet berubah secara menyeluruh suasana politik negara juga dijangka berubah,” katanya.

Beliau yang pertama kali muncul di pentas wacana di negeri tumpah darahnya pada awal lagi berdepan dengan amarah penonton apabila memulakan persembahan dengan Salam 1Malaysia.

Malah pujiannya terhadap konsep 1Malaysia yang dianggapnya sudah diterima rakyat menjadi punca penonton tidak mampu berdiam diri.

Laungan ”profesor kangkong” bergema di bahagian belakang ruangan penonton. Kadang-kadang suara ahli panel tenggelam dengan keriuhan penonton begitu sendat memenuhi dewan besar Balai Islam.

Bahagian belakang dan aras satu penuh sehingga ramai terpaksa berdiri. Wacana malam tadi sepatutnya membariskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Muhamad Nazri Aziz berdepan dengan anggota Exco, Datuk Husam Musa.

Difahamkan Nazri meminta dipinda tarikh kepada 22 Disember. Namun sehari dua lalu mahu dipercepatkan pula kepada 16 Disember. Kemudian mahu dipindah pula ke Januari depan.

Ramai melihat Nazri seperti tidak sanggup berdepan dengan audien fanatik di Kelantan apabila asyik mengubah tarikh bagi menampilkan diri di pentas politik terbuka Kelantan.

Tiada ulasan: