"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Felda, AGM Umno dan selak kain Shahrizat

Ahmad Lutfi Othman
http://syukran.files.wordpress.com/2011/01/isa-felda.jpg
Sidang akhbar mengenai Pengerusi Felda, Isa Samad, di Hotel Flamingo, Ampang, 28 Nov lalu dijadualkan jam 9.30 pagi. Kebetulan rumah saya hanya sekitar 4km sahaja dari situ. Anak lelaki saya pula bercuti, jadi tiada alasan untuknya menolak bila diajak menemani, apatah lagi jiran sebelah rumah -- seorang pesara TUDM, Katolik -- yang mutakhir ini cukup ghairah berbicara soal politik, turut mahu bersama.

"PAS mesti memimpin Pakatan Rakyat," kata jiran saya itu, Mejar Bersara Wiliam, "jangan hampakan rakyat yang impikan perubahan, dan oleh itu mesti ke depan menjuarai isu-isu masyarakat pelbagai kaum dan tidak hanya tertumpu masalah orang Islam sahaja." Beliau yang disahkan menghidap kanser hidup tahap keempat sentiasa positif tentang keupayaan pembangkang dalam PRU13 nanti.

Namun, yang lebih mengujakan saya untuk turut menghadiri sidang akhbar pagi 2 Muharam itu apabila dimaklumkan oleh Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Nasaie Ismail, bahawa yang terbabit dalam sidang akhbar itu bukan lagi teman-teman yang sering dikaitkan dengan perjuangan membela peneroka Felda, seperti Mazlan Aliman, tetapi "aktor baru" di kalangan "orang dalam" sendiri.

Justeru, walaupun terlewat hampir dua jam daripada jadual asal dan kaki kiri saya sudah mula membengkak akibat menunggu lama -- mujur ada Dr G Manimaran, Pengarang Bahasa Melayu, The Malaysian Insider untuk diajak berbual -- saya terasa berbaloi.

Penampilan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Shamsuddin Othman, 59, yang mewakili 11 wilayah Felda di seluruh negara memang cukup meyakinkan.

Hujahnya tenang dan teratur, walaupun ketika ditayangkan kepada para wartawan video ucapan Isa, semasa sesi penerangan kepada perwakilan Koperasi Permodalan Felda, di Kuala Pilah, 12 Nov, yang jelas menghinanya.

Meskipun Isa dituntut mohon maaf di atas keculaparannya itu -- dengan kata-kata "jika budak kecil, saya dah lempang", "munafik", "pembohong", "penipu" dan "jika saya jumpa saya akan lutu dia" -- saya melihat sidang media itu menjangkaui isu personal Pak Sam, malah membawa impak baru kepada siri pergolakan isu Felda.

Umno yang kelihatan panik mempertahankan sokongan pengundi Melayu dalam PRU13 nanti bakal ditimpa masalah besar di kubu sendiri apabila "simpanan tetapnya" sudah memberi kata dua, ekoran tidak berpuas hati dengan proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH), yang jelas merugikan.

Dari riak Shamsuddin dan rakan-rakannya dalam Jawatankuasa Perunding Peneroka Peneroka (JKPP) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW), saya rasa tindakan mereka bukan bermotif politik, sebaliknya tegas membela kepentingan peneroka. Mereka langsung tidak mengeluarkan kenyataan buruk kepada Perdana Menteri.

Difahamkan sebahagian besar pemimpin peneroka memihak Umno, namun ia tidak menghalang untuk mendesak Isa dan dua pegawai kanan Felda meletakkan jawatan. "Jika hasrat kami ini tidak ditunaikan PM, jelaslah sokongan peneroka Felda semasa PRU13 tidak lagi diperlukan kerajaan memerintah," kenyataan akhbar mereka dipetik.

Isa dalam responsnya bukan saja enggan memohon maaf, malah menyifatkan pihak yang cuba menolak usaha penyenaraian FGVH sebagai "pengkhianat negara". (Mudahnya kalimat pengkhianat dihamburkan). Isa juga menggesa agar Shamsuddin "datang berkomunikasi dengan saya".

Kesombongan Isa itu dikecam keras masyarakat peneroka. Ada yang membandingkannya dengan kesediaan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Meng, yang sedia memohon maaf kepada Menteri Besar Perak, Dr Zambry Abd Kadir. Lebih teruk apabila Isa cuba memburukkan lagi Shamsuddin dengan dakwaan ponteng mesyuarat Felda.

Berdepan pelbagai asakan, PM Najib Razak dijangka terus mengekalkan Isa kerana "ada rahsia yang mereka kongsi bersama". Bukankah pada September 2009, gesaan Dr Mahathir Mohamad agar Isa tidak diletakkan sebagai calon BN dalam pilihan kecil Bagan Pinang ekoran kesalahannya dalam rasuah politik, juga tidak diendahkan Najib.

Mungkin Najib perlu mendengar pantun ini:
Andai ada lembu di ladang,
Bawalah menginap di pangsapuri;
Sana sini orang Felda tentang,
Cepatlah Isa mengundur diri.

II.

Umno sukar menutup wajah gabranya berdepan perhimpunan agungnya kali ini. Saya tidaklah sampai menganggap ia AGM terakhir sebagai parti pemerintah tetapi tetap terkesan dengan pelbagai "keanehan" di dalamnya. Ternyata Umno begitu gelisah menunggu saat kuasa bercerai-tanggal daripadanya.

Membuka persidangan pada 29 Nov, Muhyiddin Yassin bertindak garang membelasah Pakatan Rakyat, khususnya DAP. Orang Melayu ditakut-takutkan akan kehilangan kuasa jika Pakatan menguasai Putrajaya. Ia bukan sesuatu yang luar biasa, terutama untuk membakar semangat ahli parti, tetapi usahlah menabur fitnah.

Lagipun ucapannya yang bertajuk "Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad" dilihat sarat dengan elemen agama, sambil menyifatkan perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri sebagai "para mujahid dan mujahidah". Memang Umno terdesak memaku sokongan Melayu kepadanya, namun janganlah berdusta. Mungkin Muhyiddin teruja dengan nasihat mentornya, Mahathir, yang mahu Umno terus menambat hati pengundi Melayu, khususnya di luar bandar.

Lihatlah ungkapannya: "Daripada soal kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, segala-galanya cuba dipertikai dan dirobek satu demi satu oleh DAP. Tembelang DAP untuk menubuhkan sebuah negara republik dengan mengetepikan nilai, sejarah dan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berpaksikan kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan semakin jelas kelihatan."

Mungkin terdorong dengan ucapan itu, dalam perbahasan, perwakilan Pemuda Pulau Pinang, Syeikh Husin Maidin menegaskan: "Siapa saja, Melayu, Cina, India yang menyokong DAP, depa daripada bangsa bangsat. Saya ulang sekali lagi, DAP adalah bangsa bangsat." Beliau juga menyifatkan ahli-ahli PAS di Pulau Pinang sebagai "bapuk".

Sidang itu juga sendat dengan perbahasan mengenai kriteria winnable candidate, suatu istilah yang sudah menggambarkan bahawa Umno kini bermasalah untuk mencari calon pilihan raya. Ramai menjangkakan konflik dalaman makin parah apabila tafsiran ciri-ciri "calon boleh menang" terbuka luas.

"Pakatan Rakyat hanya perlu tangkas dan bijaksana menggunakan kesempatan apabila Parlimen dibubarkan nanti. Ruang ahli-ahli Ummno, yang tidak puas hati dengan calon, untuk sabotaj tambah meluas. Dalam Umno, apa lagi yang lebih penting selain menjadi wakil rakyat?" kata seorang veteran parti.

"Mengikuti laporan media tentang perhimpunan, saya yakin rakyat muak dengan perbahasan yang hanya terpusat kepada keghairahan Umno mengekalkan kuasa, sedangkan masalah negara, khususnya berkaitan kemelut ekonomi dan juga perubahan politik, langsung tidak disentuh," ujar seorang penganalisis.

"Kasihan Najib, semakin tidak menjadi geraknya. Persepsi pengundi terhadap Umno makin memburuk. Segala usaha transformasinya langsung tidak membekas," tambahnya.

Dan seperti kata bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin, yang menjadi tetamu perhimpunan berkenaan, "Umno belum dapat memberi satu harapan baru, terutama kepada generasi muda, yang berbeza dengan harapan generasi dahulu, yang tidak boleh ditarik dengan ganjaran wang lagi."

III.

Isu Fidlot makin panas. Ketua Wanita Umno, Shahrizat Jalil mengamuk sakan sehingga bukan saja sanggup "menyingsing lengan" tetapi juga bersedia untuk "selak kain".

Melalui siaran berita TV, rakyat dapat menonton dengan jelas mimik muka garangnya, dengan nada suara yang begitu emosional dan sorakan sokongan perwakilan Wanita apabila beliau menjerit: "Senyum punya senyum, saya tak larat nak senyum lagi ... Itu belum angkat kain lagi. Wahai Zuraida, Ketua Wanita KeADILan yang biadap, cik puan ingat kami takut dengan kamu. Oh, suruh saya letak jawatan, siapa kamu?"

Kesabarannya ternyata hilang dengan pelbagai pendedahan mengenai syarikat milik keluarganya, terutama oleh Rafizi Ramli, Pengarah Strategi KeADILan: "Anak muda ini, apa namanya? Rafizi? Mafizi? Dia adalah si Tanggang muda."

Zuraida Kamarudin kemudiannya menjawab ringkas, pendedahan awal projek tersebut kucar-kacir dan tidak menepati sasaran kerana tiada kepakaran, dibuat Ketua Audit Negara, dan bukannya KeADIan. Hakikatnya, tegas beliau, yang biadap adalah apabila menteri-menteri yang diberi amanah, menyalahgunakan kuasa menyeleweng wang rakyat untuk mengkayakan keluarga.

Sepatah kata Rafizi: "Kalau dia singsing lengan, angkat kain, kita akan dedah lagi lepas ni." Benar, Rafizi terus tampil dengan pendedahan dana NFC daripada sejumlah RM250 juta diguna untuk beli kereta mewah (RM534,622), tanah di Putrajaya (RM3,363,507) dan melancong (RM455,423).

Dulu saya sukar percaya gosip mengatakan Shahrizat mengamuk dalam mesyuarat bersama pegawai kanan kementeriannya, malah mengherdik suaminya dengan gelaran yang tidak enak didengar selepas pecah isu NFC, tetapi melihat gayanya Rabu lalu saya sekadar mampu tersenyum.

Namun, lebih menjengkelkan saya apabila membaca penjelasan Timbalan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar bahawa siasatan awal NFC mendapati "tidak ada unsur pecah amanah dikesan". Peliknya, Khalid mengakui siasatan masih berjalan dan Shahrizat sendiri belum direkodkan kenyataannya!

Maka semakin merudumlah indeks rasuah Malaysia, sepertimana laporan Tranparency International bahawa skor Malaysia jatuh lagi kepada 4.3 pada tahun ini, yang terburuk dalam 10 tahun. Dan tambah menjauhlah imiginasi orang muda dengan Umno yang tidak pernah belajar daripada siri kesalahannya itu.
---------
Kolum ini disediakan pada malam Sabtu, 2 Disember 2011

Tiada ulasan: