ROHANA MOHD. NAWI

Keadaan kepala dan leher Azuar Firdaus yang cedera selepas diserang sekumpulan anjing liar di Pantai Kuala Kemasin, Bachok, kelmarin. Foto IHSAN KELUARGA
BACHOK – Seorang kanak-kanakKeadaan kepala dan leher Azuar Firdaus yang cedera selepas diserang sekumpulan anjing liar di Pantai Kuala Kemasin, Bachok, kelmarin. Foto IHSAN KELUARGA lelaki berlumuran darah selepas diserang lima ekor anjing liar ketika sedang bermain di Pantai Kuala Kemasin, di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu menyebabkan bahagian kepala dan leher Azuar Firdaus Zuraiman, 8, mengalami kecederaan.
Bapa mangsa, Zuraiman Mahmod, 47, berkata, ketika kejadian, Azuar Firdaus sedang bermain bersama lima saudara yang sebaya dengannya sebelum sekumpulan anjing datang mengejar mereka.
Katanya, keadaan itu mengakibatkan anaknya terjatuh sebelum diserang dan digigit beberapa ekor anjing berkenaan.
“Azuar Firdaus sempat bangun dan menendang anjing itu sebelum melarikan diri ke arah kawasan pantai. Haiwan itu terus mengejar sehingga dia masuk ke air, barulah anjing tersebut berhenti menyerang.
“Seorang buruh yang berada di kawasan berdekatan menyedari kejadian itu terus membantu menghalau anjing terbabit sebelum membawa anaknya keluar dari kawasan pantai berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Zuraiman memberitahu, dia membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Balai, di sini sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.
Katanya, Azuar Firdaus selamat menjalani prosedur jahitan pada bahagian kepala dan leher yang luka akibat digigit anjing itu.
“Dia masih lagi dirawat di wad dan memerlukan pemantauan doktor. Saya berniaga di kedai makan di Pantai Kuala Kemasin dan sudah lama melihat anjing liar berkeliaran di kawasan itu
“Penduduk kawasan ini sudah melaporkan keadaan itu dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian itu berulang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada seorang pekerja resort berhampiran berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan