"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada sesuatu yang tidak kena dengan Angkasa

Jamilah Kamarudin
PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) didakwa terjebak dengan skandal salah urus dana apabila membelanjakan wang sejumlah RM1.27 juta untuk membeli tujuh buah Toyota Camry bagi kegunaan ahli lembaga pengarahnya.
Pengerusi Koperasi Ukhwah Datuk Mustapa Kamal Maulut berkata jumlah itu melebihi daripada anggaran belanjawan tahunan asal yang hanya meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 sahaja.

Malah beliau mendakwa pembelian pada tahun 2010 itu juga dibuat tanpa mendapat persetujuan elaun daripada Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa.

Mustapa, yang juga bekas ahli koperasi Angkasa berkata pihaknya telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap lapan pegawai Angkasa, selain laporan polis yang dibuat dua tahun lalu.

Mereka adalah Yang DiPertua Angkasa Prof Dr Mohammed Ali Baharom, Timbalan Yang DiPertua Datuk Fatah Abdullah, Naib Presiden Arime Zainuddin, serta pegawai Angkasa Murtadho Bahari, Jamal Abdullah, Nasir Khann Mohammed Yaakob dan Suresh Kumar.

“Mereka secara terang-terangan telah menyalahgunakan kuasa lembaga Angkasa namun sehingga sekarang tiada sebarang tindakan daripada laporan yang dibuat,” katanya kepada FMT.

Mustapa mendakwa, salah laku ini dapat dihidu dan beliau mula bangkit mempersoalkannya dan menentang pentadbiran lembaga pengarah Angkasa.

8 ahli dipecat

Akibatnya, beliau dan tujuh ahli yang lain dipecat pada tahun 2010 tanpa diberikan alasan munasabah dan mendakwa ia bertentangan dengan undang-undang koperasi.

Katanya, Panel Penyiasatan Dalam Jabatan gagal memberikan alasan kukuh pemecatan pada tahun 2010 mereka dan terus memberikan notis tanpa diberikan ruang untuk membela diri.

Berikutan itu, Mustapa berkata dirinya dilucutkan hak untuk menyertai mana-mana persidangan kebangsaan, persidangan negeri atau menghadiri mesyuarat Angkasa selama tempoh tiga tahun.

“Alasan yang diberikan kami didapati bersalah kerana melakukan perbuatan yang memudaratkan Angkasa dan Gerakan Koperasi tetapi sehingga sekarang tiada alasan atau bukti terperinci dikemukakan,” katanya.

Beliau mendakwa kegagalan pentadbiran ini bermula sejak Yang Dipertua Angkasa Prof Ungku Aziz meletakkan jawatannya pada tahun 2009 dan enggan mempertahankannya selepas mempengerusikannya selama 30 tahun dan kemudiannya digantikan dengan Ali Baharom.

“Ungku Aziz tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan pengurusan kewangan namun beliau akhirnya meletakkan jawatan,” katanya.

Angkasa, didaftarkan sebagai sebuah koperasi menengah dalam bidang kuasa Akta Pertubuhan Koperasi 1948 memperoleh dana daripada hasil kutipan komisyen fasiliti kira-kira 5,000 ahli koperasi (dewasa dan sekolah) yang bernaung dibawah Angkasa.

Tiada ulasan: