"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kita nak Hasan Ali jadi presiden tapi dia tak sudi, dengan PAS pun tak mahu rayu

Hasan Ali
PUTRAJAYA: Beberapa perwakilan negeri Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) sebulat suara mendesak Presidennya, Datuk Zaid Ibrahim meletak jawatan secara terhormat setelah gagal menerajui parti.


Pada masa sama, mereka berhajat ‘merisik’ bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mengisi jawatan itu.

Ketua Kita Kedah, Zamil Ibrahim berkata, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, perlu keluar parti untuk memberi laluan kepada pemimpin yang lebih berkaliber menerajui parti yang baru setahun ditubuhkan itu.

Beliau berkata, perwakilan dari Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak tidak teragak-agak menyingkirnya jika itu cara yang terbaik menyelamatkan parti.

“Zaid gagal terajui parti dan jangan cuba menconteng arang ke muka kami, kononnya pemimpin Kita tidak memberi kerjasama. Itu semua pendapat peribadinya dan tiada kena-mengena dengan parti.

“Saya minta 10,000 ahli Kita bertenang. Presiden tidak boleh bubar parti ini sesuka hati kerana ia bukan syarikat persendirian, sebaliknya melalui mesyuarat luar biasa (EGM) dan perlu sokongan tiga perempat ahli,” katanya.

Ditanya mengapa Kita berminat dengan Hasan, Zamil berkata, buat permulaan pihaknya akan bekerjasama dengan Hasan kerana berpendapat beliau pemimpin yang mempunyai pendirian jelas dan perjuangannya hampir selari dengan parti berkenaan.

“Hasan mempunyai pengaruh kuat dan saya percaya, sekiranya beliau menerajui parti ini, tidak mustahil Kita akan kukuh. Lagipun Kita akan menjadi kuasa ketiga, sesuai dengan konsep dibawa Hasan untuk diterjemahkan dengan perjuangan parti ini.

“Sekarang Kita akan berhadapan dengan peperangan besar iaitu pilihan raya umum. Di Kedah, 18 calon digembar-gemburkan menawarkan diri, jadi di mana maruah kami apabila pemimpin yang akan dicalonkan, tiba-tiba partinya pula dibubarkan,” katanya.

Hasan Ali  pada  sidang media di rumahnya di sini, hari ini menolak untuk menerajui Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) kerana perjuangan parti itu tidak selari dengan apa yang diperjuangkan beliau iaitu demi Islam, Melayu dan Institusi Raja (IMR).

Katanya, lagipun adalah tidak manis jika beliau pula hadir menerajui parti yang dipelopori oleh orang lain terlebih dahulu.

"Biarlah Kita dengan Kita, saya dengan perjuangan saya," katanya.

Pada sidang media itu juga beliau memberitahu beliau tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan pemecatannya sebagai ahli PAS.

Beliau menyifatkan pemecatan itu diambil secara arbitari dan mengikut selera 'parasit' yang mahu beliau keluar Pas.
 -sinarharian-

Tiada ulasan: