PUCHONG: Seorang nenek tergamak menyimpan mayat cucu yang dibunuhnya semalaman di rumah yang didiaminya di apartmen Koi Legian, Taman Kinrara di sini sebelum memberitahu tindakannya itu kepada bapa mangsa, pagi semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa, Pow Mei Shuang, 10, ditemui mati akibat sesak nafas selepas dipercayai ditekup dengan bantal oleh nenek kandungnya sendiri.
Akibat cuak dengan tindakannya itu, nenek berusia 57 tahun itu dikatakan cuba pula membunuh diri dengan memotong jari manis di tangan kirinya sehingga putus dan menadah darah yang mengalir dengan sebuah baldi plastik dengan harapan dia akan menyusul kematian cucunya.
Bagaimanapun kepantasan anggota polis ke tempat kejadian berjaya menyelamatkan nenek berkenaan yang kemudian dikatakan cuba pula terjun dari tingkap bilik tidur di tingkat lapan pangsapuri itu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kes itu kira-kira jam 12 tengahari, semalam.
“Sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan terpaksa memecahkan pintu bilik tidur kerana suspek yang juga nenek mangsa enggan membuka pintu.
“Mayat mangsa ditemui di atas katil dalam keadaan terlentang manakala neneknya pula cuba terjun dari tingkap bilik tidur ,”katanya.
Abd Razak berkata, bapa mangsa dikatakan menerima panggilan daripada ibunya kira-kira jam 9.30 pagi semalam dan mendakwa sudah membunuh cucunya dua hari yang lalu.
“Siasatan polis mendapati mayat berkemungkinan dibunuh dalam tempoh 12 jam yang lalu. Tiada sebarang kecederaan lain ditemui pada tubuh badan mangsa.
“Hanya jari milik suspek ditemui di dapur bersama pisau pemotong daging yang digunakan. Siasatan mendapati suspek mengalami masalah mental dan polis turut menemui satu tulisan Cina berwarna merah di dinding tertulis ‘hati tak suka, hati tak syok, mahu mati’ dipercayai ditulis wanita tua berkenaan,” katanya rumah berkenaan dihuni suspek bersama mangsa dan tiga ahli keluarga lain.
Beliau berkata, kes dipercayai berpunca daripada permasalahan keluarga yang dialami selain perniagaan restoran milik keluarga yang dikatakan merosot sejak kebelakangan ini.
“Wanita tua berkenaan dikatakan seringkali bertengkar dengan ahli keluarga lain berhubung masalah perniagaan dijalankan.
“Bapa mangsa memaklumkan dia ada balik ke rumah malam semalam (kelmarin) dan menyangkakan anaknya tidur seperti biasa bersama neneknya dalam bilik tidur itu,” katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat manakala suspek dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Jelas Abd Razak lagi,kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Saya menasihatkan masyarakat supaya mengawal dan menjaga ahli keluarga yang menghadapi masalah mental dengan sebaiknya.
“Jangan membiarkan mereka yang menghidap penyakit mental bersama kanak-kanak atau berseorangan kerana boleh menyebabkan berlaku perbuatan yang tidak sepatutnya,”katanya.
Sementara itu, Pengawal Keselamatan yang berkhidmat di pangsapuri didiami suspek dan mangsa, S Parumal, 74, berkata dia mengenali suspek sebagai wanita tua yang berperwatakan baik.
“Dia sering tegur saya namun sesekali ada ‘naik angin’ apabila lot tempat kereta anaknya diambil orang.
“Saya juga selalu melihat dia membawa cucu (mangsa) berjalan-jalan pada waktu petang,”katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan